227 Sept 2007 Sempena Mesyuarat Ekonomi Utama Mengenai Keselamatan Tenagan dan Perubahan Cuaca di Washington
AMERIKA Syarikat menjadi tuan rumah Mesyuarat Ekonomi Utama Mengenai Keselamatan Tenaga dan Perubahan Cuaca, satu lagi inisiatif untuk mencetus kesedaran di kalangan warga dunia mengenai perubahan cuaca yang kini menjadi agenda utama generasi masa kini. Mesyuarat di Washington hari ini dan esok adalah perjumpaan pertama disertai 17 kuasa utama ekonomi dunia, dan beberapa negara membangun dan sedang membangun, di samping penyertaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kuasa Usaha Amerika Syarikat ke Malaysia, David B Shear, berkata inisiatif terbaru antarabangsa ini disokong pemimpin G-8 dan pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang bermesyuarat di Sydney, Australia, awal bulan ini.
"Mesyuarat di kalangan negara ekonomi dunia itu minggu ini, dijangka dapat memulakan gerakan untuk mencari penyelesaian krisis perubahan cuaca ini dengan lebih mantap. Semua negara peserta di mesyuarat ini mewakili 85 peratus ekonomi global yang juga mencatat 80 peratus daripada pengeluaran karbon dioksida dunia," kata Shear dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.
Pertemuan di kalangan negara utama dunia itu dijangka memberi sokongan kepada usaha PBB untuk menggabungkan semua kuasa besar dan mencapai konsensus apabila menggaris elemen bagi rangka kerjasama global yang baru, di bawah Rangka Kerja Konvensyen PBB Mengenai Perubahan Cuaca menjelang 2009. Amerika Syarikat dan beberapa kuasa ekonomi dunia bukan penandatangan kepada Protokol Kyoto yang bermatlamat menstabilkan pengumpulan gas karbon dioksida, ke peringkat yang boleh mengurangkan kesan lebih buruk kepada sistem iklim dunia.
Ketika ini, 141 negara mewakili 55 peratus pengeluaran karbon dunia menandatangani protokol itu dan masing-masing berikrar untuk mengurangkan gas beracun itu sebanyak 5.2 peratus menjelang 2012.
Amerika Syarikat sebagai pengeluar karbon dioksida tertinggi dunia tidak menandatangani perjanjian itu dengan alasan ia akan menelan belanja terlalu tinggi dan perjanjian itu mempunyai banyak kelemahan. Antara yang menjadi penghalang ialah tindakan mewajibkan pemasangan alat menapis karbon, usaha membina sumber tenaga yang mesra alam dan penyediaan teknologi baru akan menelan belanja besar.
Bagi menangani semua halangan itu, Amerika Syarikat mengambil inisiatif sendiri untuk menjadi tuan rumah kepada mesyuarat di Washington, bagi menggariskan sendiri usaha kuasa-kuasa ekonomi dunia untuk menangani krisis yang semakin serius itu.
Jika mesyuarat di Washington ini dapat membantu mempercepatkan usaha ke arah menangani krisis perubahan cuaca dan keselamatan tenaga, masyarakat dunia sudah pasti tidak akan membantah kerana niat semua pihak adalah untuk melindungi dan menguruskan bumi yang semakin terancam ini dengan lebih mantap, demi kebaikan generasi manusia akan datang.
Shear berkata, sebenarnya negara utama dunia sudah bersetuju bahawa untuk menangani isu perubahan cuaca itu memerlukan kombinasi tindakan yang boleh memberi perlindungan kepada alam sekitar, pada masa yang sama menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan isu keselamatan tenaga dapat dileraikan dengan baik.
"Bagaimanapun, semua negara terbabit turut mengaku bahawa perubahan cuaca adalah suatu cabaran yang amat kompleks dan memerlukan penyelesaian jangka panjang. Negara di seluruh dunia sudah pun memulakan usaha dan berkongsi idea untuk mencari penyelesaian teknologi yang boleh mengurangkan gas beracun di atmosfera kita.
"Matlamat kita di mesyuarat minggu ini adalah untuk memastikan semua kuasa ekonomi dunia bersetuju dengan elemen utama membabitkan penyelesaian ke arah isu perubahan cuaca dan pemanasan global ini pada 2008. Semua elemen ini perlu dilaksanakan sebelum 2012, termasuk matlamat jangka panjang global dan kajian semula matlamat pertengahan penggal di peringkat nasional," katanya.
Jelasnya, mesyuarat dua hari ini diharap memberi penekanan mengenai bagaimana kuasa ekonomi dunia boleh bekerjasama lebih rapat dengan sektor swasta, serta usaha mempercepatkan pembangunan dan penggunaan teknologi yang lebih bersih - komponen paling kritikal untuk memastikan keberkesanan usaha mengurangkan pengeluaran karbon dioksida.
"Kami akan menggariskan program kerja bagi sektor utama seperti industri arang batu dan pengangkutan, dan kami dijangka bersetuju untuk memantapkan laporan membabitkan pengeluaran karbon dioksida dan bagaimana kita boleh mengukur pengurangan karbon itu di peringkat korporat," katanya.
Shear berkata, selain daripada perbincangan membabitkan keselamatan tenaga dan perubahan cuaca, mesyuarat berkenaan akan turut menyentuh peluang dan keutamaan mendapat laporan kemajuan selepas 2012, di samping mengenal pasti usaha mendesak bagi lebih banyak penyelidikan dan pembangunan teknologi kuasa yang lebih bersih.
"Selain agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan akan turut menyertai mesyuarat ini. Kami berharap mendengar mengenai cabaran yang mereka hadapi, teknologi yang sedang diguna pakai, teknologi yang sedang dibangunkan, dan bagaimana untuk menangani cabaran membiayai semua kos pada masa depan," jelasnya mengenai mesyuarat yang akan dihadirinya.
Tegasnya, rangka kerja pasca 2012 patut memastikan penyertaan semua negara dan mengenal pasti kepelbagaian penyelesaian, serta pendekatan yang boleh diambil setiap negara berasaskan kepada keperluan dan sumber mereka untuk menangani krisis perubahan cuaca.
"Daripada mengambil satu pendekatan untuk semua, kita akan mencari jalan yang lebih fleksibel, inovatif dan kerja sepasukan pada skala global.
"Sekiranya kuasa ekonomi dunia boleh bersetuju dengan satu arah saja untuk ke hadapan, konsesus yang bakal dicapai boleh membantu mempercepatkan prospek perjanjian yang lebih luas melalui PBB," katanya mengenai cabaran besar untuk menangani krisis perubahan cuaca yang memerlukan perubahan dalam pembangunan sumber tenaga yang lebih mesra alam.
|