Tuesday, 26 Nov 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : 500 pegawai menyamar Pantau harga, bekalan
Harian Metro : 500 pegawai menyamar Pantau harga, bekalan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:30

 

SEREMBAN: Seramai kira-kira 500 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan ditempatkan di setiap pasar utama di seluruh negara bagi memantau kedudukan harga dan bekalan barangan menjelang Aidilfitri.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Mohd Roslan Mahayudin, berkata penempatan pegawai itu sudah bermula kelmarin sehingga 20 Oktober ini di setiap pasar utama sehingga aktiviti perniagaannya berakhir.

Beliau berkata, ada di kalangan pegawai akan memakai pakaian biasa dan menyamar sebagai pembeli bagi mengesan kemungkinan ada peniaga yang menjual barangan keperluan melebihi harga siling.

"Langkah ini diharap dapat menangani masalah peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan secara berlebihan pada saat akhir orang ramai membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

"Selain itu, penempatan pegawai juga akan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat jika peniaga menaikkan harga barangan sekali gus membolehkan kami mengambil tindakan segera ke atas peniaga terbabit," katanya selepas mengetuai Operasi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasar Besar Seremban, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP negeri, Ahmad Lasim dan Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Mohd Nor Musa.

Mohd Roslan turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membeli barangan pada saat akhir dengan memeriksa harga bagi memastikan tidak ditipu peniaga.

Beliau juga meminta orang ramai supaya meneliti barangan yang dibeli bagi mengelakkan tertipu dengan taktik peniaga yang mencampuradukkan barangan seperti daging tempatan dengan daging import atau telur tidak berdasarkan gred bagi mengaut keuntungan mudah.

"Kemungkinan ada peniaga yang mencampuradukkan barangan itu kerana mereka mungkin beranggapan orang ramai tidak mengambil kisah mengenai barangan yang dijual asalkan dapat membelinya dengan mudah bagi membuat persediaan Aidilfitri.

"Jadi, kita sudah menyediakan pelbagai saluran kepada pengguna untuk membuat aduan sekiranya merasakan diri mereka ditipu sama ada menerusi talian hotline 1 800 886 800, aduan SMS 32255, e-mel atau laman web kementerian," katanya.

Mengenai operasi di Pasar Besar Seremban, Mohd Roslan berkata, tiada sebarang tindakan diambil ke atas peniaga kerana mereka didapati menjual barangan mengikut harga siling yang ditetapkan.

"Saya juga terkejut kerana ada peniaga yang menjual harga barangan kawalan seperti cili merah di bawah paras harga siling iaitu RM2.50 dan RM3 sekilogram berbanding harga siling RM8, ikan kembong sebanyak RM7 berbanding RM8 dan tomato RM3 berbanding RM3.80.

"Saya berharap keadaan ini akan berterusan sehingga tiba Aidilfitri bagi membolehkan peniaga menyambut hari mulia itu tanpa sebarang rungutan mengenai kenaikan harga barangan yang melampau," katanya.