Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bercuti Dengan Tenang
Bercuti Dengan Tenang PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:39

Tradisi `balik kampung' untuk berhari raya bersama keluarga dan sahabat handai adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh umat Islam setiap tahun.

Namun keghairahan untuk bercuti lazimnya akan membuatkan mereka alpa atau terlupa sesuatu yang mudah tetapi penting dalam memastikan ketenteraman minda semasa berada di kampung halaman.

Beberapa perkara seperti keselamatan harta benda yang ditinggalkan serta aspek kebersihan perlu dipertimbangkan.

Bagi membantu memastikan anda dapat bercuti dalam suasana tenang dan ceria, amatilah panduan berikut sebelum melangkah keluar.

PANDUAN MUDAH

* Buang segala makanan yang mudah rosak dan pastikan sisa makanan dibersihkan daripada permukaan meja dan almari supaya ia tidak menarik kedatangan semut, lalat dan tikus.

* Jika anda merancang untuk mematikan peti sejuk, tinggalkannya dalam keadaan bersih dengan mencucinya menggunakan sedikit bahan cucian. Biarkan pintu peti sejuk terbuka sedikit untuk mengelakkan kulat.

* Kain dan pengelap lantai yang basah merupakan tempat sesuai untuk kuman membiak, jadi pastikan barangan berkeadaan kering dan bersih sebelum anda meninggalkan rumah.

* Kosongkan tong sampah dan pastikan sampah dikutip sebelum anda meninggalkan rumah. Jika dibiarkan dalam tong sampah, ia akan membangkitkan bau yang kurang menyenangkan.

* Tuangkan bahan cucian ke dalam longkang dan sinki dan biarkan ia selama 2-3 minit sebelum membilasnya. Ia akan membunuh kuman, menghilangkan minyak dan bau.

* Pastikan haiwan peliharaan dihantar ke tempat yang sesuai atau dijaga oleh kawan anda.

JAMIN KESELAMATAN

* Cuba tidak memberitahu sesiapa mengenai rancangan percutian anda atau elakan daripada meninggalkan nota kepada penghantar barangan.

* Lakukan pemeriksaan terakhir dengan memastikan semua tingkap ditutup dan pintu dikunci.

* Sama ada anda berada dalam `persekitaran yang diawasi' atau tidak, minta jiran atau sesiapa jua untuk mengawasi rumah anda. Jika anda merancang untuk bercuti bagi tempoh yang lama, potong rumput di halaman rumah sebelum anda pergi.

* Maklumkan kepada balai polis berdekatan supaya mereka dapat mengawasi rumah anda. Jika anda memasang alat penggera, pastikan polis tahu siapa yang memegang kunci rumah anda.

* Jangan tinggalkan wang atau barang-barang kemas dalam rumah. Bawa bersama anda atau simpan dalam bank atau peti besi keselamatan anda.

* Batalkan sebarang pesanan susu atau surat khabar semasa ketiadaan anda.

Hakikatnya, semua orang mahukan percutian yang menenangkan dan lancar tidak mahu pulang melihat harta benda mereka ditimpa musibah.

Namun, bahagia atau sebaliknya percutian itu banyak bergantung kepada keupayaan dan kebijaksanaan anda merancang dan mengendalikannya.

Dan setelah segala panduan ini diamati dan diikuti, eloklah bercuti dengan minda yang tenteram. Ingatlah, matlamat percutian ialah untuk membebaskan minda daripada sebarang perasaan bimbang.

Selamat berangkat ke kampung dan selamat kembali!

-- BERNAMA