Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Perah tenaga pemandu bas
Utusan Malaysia : Perah tenaga pemandu bas PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:40

 

Laporan Khas

PERKHIDMATAN bas ekspres di negara ini sering dikaitkan dengan pelbagai cerita negatif seperti terbabit dalam kes-kes kemalangan dengan jumlah kematian yang tinggi.

Sikap pemandunya juga selalu dipersoalkan kerana mereka dikatakan tidak mematuhi peraturan jalan raya kerana mahu mengejar trip hingga mengabaikan keselamatan penumpang.

Sehubungan itu, Utusan Malaysia meninjau masalah di sebalik perkhidmatan pengangkutan yang menjadi pilihan puluhan ribu rakyat negara setiap hari kerana ia merupakan cara yang paling mudah dan murah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Mungkin disebabkan kebanyakan pengguna bas ekspres ialah mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah, maka aspek keselamatan termasuk kelayakan pemandu tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Ikuti laporan khas oleh wartawan Utusan Malaysia, YULPISMAN ASLI, MOHAMMAD YASIR JAAFAR dan AU YEONG HOW mengenai dilema pemandu bas ekspres dan kemelut yang membelenggu perkhidmatan pengangkutan awam itu.

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Golongan pemandu bas ekspres terpaksa mengerah kudrat dengan bekerja di luar kemampuan sebenar semata-mata untuk mengejar trip bagi mendapatkan pendapatan yang lebih baik.

Jika mereka bergantung kepada gaji pokok sekitar RM250 sebulan yang diberikan majikan, ia sangat kecil dan langsung tidak mampu menampung kos kehidupan walaupun tinggal di bandar kecil.

Untuk memastikan mereka mempunyai pendapatan yang selesa setiap bulan, tidak ada cara lain melainkan memerah setiap keringat dan tenaga yang ada biarpun terpaksa menggadai nyawa penumpang yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

Mereka terpaksa bekerja tanpa mengira waktu dan memandu dalam keadaan letih bagi mengejar trip sehingga ada ketikanya mengabaikan keselamatan penumpang.

Seorang pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Abu, 30-an, berkata, jumlah gaji bersih yang dia peroleh lebih kurang RM1,000 setiap bulan. Ia tidak cukup untuk menampung kos kehidupan.

“Kami terpaksa bekerja lebih masa bagi mendapatkan elaun trip yang lebih baik. Adalah mustahil jika ingin bergantung kepada gaji pokok semata-mata.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan pemandu menjadi letih jika terlampau mengejar elaun tambahan dengan memandu lebih lama daripada masa yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Seorang lagi pemandu, Azmi Ibrahim, 37, berkata, dia merupakan pemandu kontrak tanpa gaji pokok dan pendapatannya bergantung kepada jumlah perjalanan yang dilakukan.

Jika sakit atau demam dan tidak dapat memandu bas, maka dia tiada pendapatan untuk menyara keluarga.

“Bayaran elaun trip bergantung kepada jarak perjalanan. Semakin jauh, semakin tinggi kadar bayarannya.

“Bayaran elaun ini tidak tetap kerana setiap syarikat bas ekspres mempunyai kadar pembayaran yang berbeza,” jelasnya.

Seorang lagi pemandu bas ekspres, Osman Bandi, 40, memberitahu, dia telah memandu bas sejak dari tahun 1988 hingga kini dan telah bekerja dengan beberapa buah syarikat bas ekspres yang berlainan.

“Saya dibayar RM9 bagi setiap hari bekerja bersama elaun perjalanan yang bergantung kepada jarak sesuatu trip.

“Demi menjamin keselamatan penumpang, untuk setiap perjalanan jauh diwajibkan bagi setiap bas mempunyai dua orang pemandu. Ini bermakna pendapatan juga terpaksa dibahagi dua,” katanya.

Osman berkata, elaun trip perjalanan tersebut perlu dibahagi sama rata jika jarak trip tersebut bermula dari selatan dan berakhir di utara.

Sebagai contoh, katanya, elaun perjalanan dari Selatan ke Timur pergi balik sebanyak RM260 dan ia akan dikongsi oleh dua pemandu.

Sehubungan itu, katanya, jika gaji pemandu bas dapat diselaraskan pada tahap yang lebih baik, taraf perkhidmatan juga akan dapat ditingkatkan selain dapat menjamin keselamatan penumpang.

Jelas Osman, dia agak keletihan sekiranya memandu dalam jarak jauh tetapi sentiasa berada dalam keadaan fokus bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, Jamaian Marsom, 43, berkata, RM240 itu merupakan gaji permulaan bagi pemandu yang baru bermula dan tidak mempunyai pengalaman.

Katanya, kadar gaji pokok itu akan meningkat dari masa ke masa dan bergantung kepada pengalaman bekerja.

Dia turut mengaku terpaksa mengejar elaun tambahan sekiranya ingin pendapatan lebih bagi menampung kos hidup yang meningkat.

“Kurang jalan, kurang pendapatan kami (pemandu bas). Sekarang semua kos barang dah naik, kos sara hidup sangat tinggi, sekiranya ingin bergantung dengan gaji pokok ia tidak memadai,” tambahnya.