Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Peniaga diperdaya RM130,000
Harian Metro : Peniaga diperdaya RM130,000 PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:46

 

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan hanya mampu menepuk dahi selepas mengalami kerugian RM130,000 akibat diperdaya sindiket penipuan antarabangsa yang menawarkan hadiah cabutan bertuah kepadanya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 49, mendakwa ditawarkan hadiah RM300,000 oleh ahli sindiket penipuan profesional terbabit yang berpangkalan di Hong Kong.

Tan yang juga pemilik sebuah kilang perabot semalam berkata, dia mula terjebak dengan aktiviti sindiket terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali pada 19 September lalu.

Menurutnya, individu berkenaan memberitahu dia memenangi hadiah cabutan bertuah tempat kedua anjuran sebuah syarikat di Hong Kong membabitkan nilai RM300,000.

"Namun, sekiranya ingin memiliki semua wang 'kemenangan' itu, saya perlu memasukkan wang ke akaun sebuah bank tempatan RM130,000 yang didakwa sebagai yuran pendaftaran ahli syarikat terbabit.

"Saya yang agak terkejut bercampur gembira apabila mendengar berita itu kemudian bersetuju dengan permintaan individu itu dan segera memasukkan wang ke akaun bank diberi," katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Menurut Tan, selepas memperoleh wang terbabit, individu terbabit mendiamkan diri dan hanya menghubungi mangsa beberapa bulan kemudian untuk meminta RM50,000 kononnya sebagai bayaran cukai sebelum boleh memiliki wang dimenangi.

"Saya yang sudah menggunakan hampir keseluruhan wang syarikat menemui jalan buntu dan bercadang meminjam daripada along.

"Selepas itu saya memaklumkan perkara berkenaan kepada adik kandung dan dia meminta agar saya pergi ke Biro Pengaduan Awam MCA untuk berbincang," katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun tetap yakin cabutan bertuah yang dimenanginya itu benar dan percaya wang itu akan diterimanya dalam masa terdekat.

"Chong turut meyakinkan dan membuktikan saya sebenarnya sudah terpedaya dengan helah sindiket itu dan meminta tidak membuat sebarang bayaran lagi kepada sindiket terbabit.

"Saya dapat menerima kenyataan itu dan pulang dengan hampa. Selain itu, saya bersyukur kerana tidak sempat meminjam along yang sekali gus akan menambahkan beban sedia ada," katanya.