Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Umpan hadiah tunai haji
Harian Metro : Umpan hadiah tunai haji PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:47

27 November 2007

 

KUALA LUMPUR: Impian menunaikan ibadat haji musnah. Itu nasib menimpa seorang ibu kepada sembilan anak apabila ditipu sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai hadiah, termasuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Rukiah Abdul Rahman, 40, kerugian kira-kira RM17,000 kerana dipaksa membuat pembayaran secara berperingkat selepas dimaklumkan dia memenangi hadiah kereta Toyota Avanza dan menunaikan ibadat haji.

“Pada 4 April lalu, saya menerima panggilan daripada seorang wanita yang menggelarkan dirinya Sofea daripada syarikat terbabit mengatakan saya memenangi kedua-dua hadiah itu.

“Saya ragu-ragu dengan dakwaannya tetapi terpedaya apabila dia meyakinkan dengan mengatakan saya perlu hadir di pejabatnya di Rawang dan jika dia (Sofea) menipu, pihaknya sudah tentu tidak akan memberi alamat pejabat,” katanya.

Mangsa yang menetap di Kampung Kebun Bunga, Shah Alam, dekat sini, pergi ke pejabat syarikat terbabit dengan ditemani suami.

 Mereka diberi ‘ceramah’ ringkas mengenai kemenangan yang dipilih secara rawak melalui nombor telefon dan nama yang diperoleh daripada barangan elektrik dibeli sebelum itu.

Rukiah diminta membuat bayaran RM7,500 sebagai wang pendahuluan tetapi dia hanya mampu memberikan RM2,000 pada masa itu.

Bagi meyakinkannya, kata suri rumah itu, syarikat terbabit memberinya resit sebagai bukti pembayaran selain mendapat kerusi urut elektronik sebagai hadiah bonus.

“Saya diberi hadiah kerusi urut itu apabila datang ke pejabat terbabit untuk kali kedua bagi membayar baki wang RM5,500.

“Mereka pesan supaya menyimpan resit pembayaran dan memberitahu, syarikat sedang memproses pengeluaran kereta Toyota Avanza seperti dijanjikan dan jika tiada, wang saya akan dikembalikan bersama dividen,” katanya.

Selepas seminggu, Rukiah dihubungi syarikat terbabit yang mendakwa dia memenangi RM70,000 serta hadiah menunaikan haji tetapi perlu membayar RM7,500 lagi.

Katanya, disebabkan terlalu gembira dengan hadiah lumayan itu, dia membuat bayaran RM500 sebelum membayar RM7,000 beberapa hari kemudian.

Untuk itu, mangsa diberi hadiah set sistem teater rumah dan televisyen 29 inci.

“Mereka menghubungi saya semula pada 21 Oktober lalu dan meminta saya membayar RM2,000 sebagai bayaran makan malam di pusat peranginan terkemuka berikutan saya akan mendapat kereta Toyota Avanza ketika itu.

“Disebabkan terlalu sibuk, saya hanya memasukkan sejumlah wang itu kepada nombor akaun atas nama ‘Nazri’ yang diberikan kepada saya.

“Selepas itu, saya langsung tidak dihubungi lagi, malah apabila ke pejabat terbabit, ia seperti sudah ditutup,” katanya yang cuba berulang kali menghubungi Sofea dan syarikat terbabit tetapi gagal.

Kini, dia amat sedih kerana duit simpanan untuk pembelajaran anak lesap begitu saja.

Akibat kejadian itu, Rukiah yang terkejut dengan syarikat terbabit yang sanggup menggunakan agama untuk menipu orang ramai, membuat laporan di balai polis berdekatan.