Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Pengusaha hotel cekik darah
Harian Metro : Pengusaha hotel cekik darah PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:47

27 November 2007

 

CAMERON HIGHLANDS: Sikap cekik darah pengusaha hotel, di sini, yang didakwa sengaja menaikkan kadar sewa bilik hingga mencecah 100 peratus menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan pelancong tempatan.

Difahamkan, sebelum ini, kadar sewa bilik hotel itu dinaikkan hanya pada cuti umum, cuti hujung minggu termasuk musim cuti sekolah, namun kenaikan sejak dua bulan lalu dianggap melampau dan tidak masuk akal.

Pengunjung mahu pihak berkuasa bertindak dengan segera bagi mengelakkan kenaikan kadar sewa bilik terlalu tinggi kerana ia secara tidak langsung menjejas kehadiran pelancong.

Tinjauan Harian Metro, kelmarin mendapati beberapa hotel di Brinchang menaikkan kadar sewa bilik standard dari RM78 kepada RM158 satu malam, manakala untuk bilik keluarga dari RM138 kepada RM218.


Sebuah lagi hotel dianggap mewah didapati menaikkan harga sewa bilik kepada RM238 sedangkan pada hari biasa ialah bawah RM150 sahaja.

Pelancong, Mohd Zain Taib, 55, dari Pengkalan Chepa, Kelantan, berkata dia pernah dimaklumkan oleh rakan-rakannya bahawa harga penginapan hotel di situ akan melambung terutama ketika musim cuti persekolahan.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan urusan perniagaan beliau terpaksa pergi juga ke Cameron Highlands.

"Kita macam tertipu kerana datang dari jauh terpaksa membayar sewa bilik yang mahal sedangkan kemudahan seperti sarapan pagi tidak disediakan selain bilik juga tiada pendingin hawa," katanya.

Katanya, sekiranya kenaikan itu dengan kadar yang berpatutan, ia masih boleh diterima tetapi jika terlalu tinggi, perbuatan berkenaan dianggap cekik darah.

"Kita memang tahu pada musim cuti sekolah ini sewa bilik hotel di sini memang naik, tetapi jika mencecah hampir 100 peratus maka secara tidak langsung sudah tentu menyusahkan orang ramai," katanya.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Rohayati Ismail, 26, berkata dia membayar kadar sewa bilik pada harga RM218 sedangkan harga sepatutnya kira-kira RM138 saja.

"Sudahlah harganya mahal tiada kemudahan yang disediakan pihak pengurusan hotel menyebabkan saya bersama dua rakan terpaksa mencari gerai untuk sarapan," katanya yang datang ke situ secara berkumpulan.

Ahmad Ibrahim, 48, dari Perlis, berkata dia hairan kerana kenaikan kadar sewa bilik naik mendadak itu sedangkan harga bilik hotel di negara jiran adalah murah dan lebih selesa.

"Tidak hairanlah ramai rakyat negara ini berkunjung ke negara jiran kerana ia lebih murah dan selesa," katanya.

Sementara itu, seorang petugas hotel terkenal yang mahu dikenali sebagai Sherry, mengakui pengusaha hotel akan mengaut keuntungan pada musim cuti sekolah kerana jumlah pelancong meningkat.

Katanya, kenaikan kadar sewa bilik itu bukan perkara baru kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama malah sekiranya pemilik hotel tidak menaikkan kadar sewa bilik pada musim itu dianggap menolak rezeki.