Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Ulat, tikus, lalat dalam belacan
Harian Metro : Ulat, tikus, lalat dalam belacan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:49

 

BUKIT MERTAJAM: Meloyakan! Demikian kesimpulan yang dibuat pegawai Jabatan Kesihatan Negeri ketika membuat pemeriksaan di sebuah rumah usang dalam belukar yang dijadikan sebagai tempat membuat belacan, semalam.

Pemeriksaan jam 10.30 pagi itu susulan serbuan dilakukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Seberang Prai Tengah (SPT), kelmarin.

Seramai 15 kakitangan Jabatan Kesihatan negeri terbabit dalam pemeriksaan diketuai Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri yang juga Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri, Ideris Mohammed.

Mereka terkejut kerana tempat pembuatan belacan itu juga menjadi sarang pembiakan nyamuk dan tikus, manakala sistem saliran didapati tidak memuaskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri, P K Subbaiyah, berkata pemeriksaan mendapati keadaan sekitar rumah usang terbabit menjijikkan dengan belacan dijemur secara terbuka, manakala tahap kebersihan peralatan digunakan juga tidak memuaskan.

Katanya, pihaknya sering membuat pemantauan sebelum ini tetapi tidak menyedari kewujudan rumah terbabit kerana kedudukannya jauh dalam belukar dan terlindung dari pandangan orang ramai.

“Kira-kira lima tan belacan serta bahan mentah bernilai kira-kira RM50,984 dirampas selain peralatan dan mesin yang digunakan.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Subbaiyah berkata, pihaknya juga menyita premis terbabit mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selain mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Serangga Pembawa Penyakit 1975 kerana menjadi sarang pembiakan nyamuk dan serangga lain.

Malah, ulat yang masih hidup jelas kelihatan ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bahan mentah. Sebahagian bahan mentah dan belacan siap dibakar diambil untuk dianalisis.

Kelmarin, KPDNHEP merampas belacan siap dibakar bernilai RM20,000 selepas menerima aduan daripada pemilik sebenar cap dagang HBO Food Trading yang mengesyaki ada pihak lain menggunakan nama syarikatnya bagi produk sama.

Syarikat HBO dimiliki Yahya Osman tetapi terpaksa menghentikan operasinya sejak dua tahun lalu akibat mengalami kerugian besar kerana ada pihak lain menjual belacan menggunakan jenama sama pada harga RM1 sepaket berbanding harga sebenar RM1.50.

Siasatan awal mendapati tiada sebarang bukti premis terbabit didaftarkan untuk tujuan perniagaan.