Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Suri rumah ditipu rugi RM500,000
Berita Harian : Suri rumah ditipu rugi RM500,000 PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:53

 

GEORGETOWN: Seorang suri rumah mendakwa kerugian kira-kira RM500,000 selepas ditipu sindiket cabutan bertuah yang dipercayai berpangkalan di Hong Kong untuk menerima hadiah RM1.2 juta, Jun lalu.

Bagaimanapun, selepas mendepositkan wang setengah juta ringgit sebagai cagaran dan menunggu kira-kira lima bulan, mangsa yang berusia 30-an bukan saja tidak menerima hadiah dijanjikan, malah cagarannya turut hilang.
 
Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bayan Lepas di sini, kelmarin.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan belum ada tangkapan dilakukan.

Mangsa yang enggan namanya disiarkan mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang anggota sindiket kononnya dia memenangi cabutan bertuah sebanyak RM1.2 juta, Jun lalu.

Pada mulanya, mangsa enggan menerima hadiah itu kerana bimbang ditipu, tetapi terpaksa akur kerana didesak oleh anggota sindiket yang mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang jika menolak tawaran berkenaan.

Akibat bimbang dihadapkan di Mahkamah Hong Kong, dia mengikut segala arahan sindiket itu.

"Saya mengikut segala arahan, termasuk mendepositkan wang ke 11 akaun berbeza," katanya di sini, semalam.

Selepas menunggu kira-kira lima bulan dan dia tidak menerima sebarang berita mengenai hadiah yang dimenanginya, wanita itu mengadu kepada suaminya.

Berikutan itu, suami mangsa membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia dan mendapati dia ditipu.

April lalu, seorang pelajar kolej kerugian RM148,000 selepas mendepositkan wang itu selepas diberitahu dia memenangi hadiah loteri bernilai RM3.2 juta dari sebuah kelab lumba kuda di Hong Kong.