Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Ais suling, RO kurang kandungan mineral
Utusan Malaysia : Ais suling, RO kurang kandungan mineral PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:55

22 November 2007

 

KUALA LUMPUR - Air Osmosis Songsang (RO) yang dijual di pasaran sekarang adalah air bersih yang selamat diminum, tetapi kurang kandungan mineral.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, ini kerana sebanyak 70 hingga 90 peratus mineral dan bahan larut dalam air telah dikeluarkan semasa melalui proses RO.

Walaupun kandungan mineral RO berkurangan, tetapi air tersebut perlu memenuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, katanya menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Boon Soon yang mempertikai kehadiran air suling yang langsung tidak mempunyai kandungan mineral di pasaran, Abdul Latif berkata, mereka yang secara berterusan minum air suling tanpa minum air lain akan mengalami kekurangan mineral dalam tubuh.

Katanya, ini kerana semua bahan pepejal, bahan larut dan bahan mineral telah dikeluarkan semasa proses penghasilan air suling.

Kepada soalan Baharum Mohamad (BN-Sekijang), beliau berkata, pengguna tidak perlu terpengaruh dengan gimik produk air yang mendakwa mengandungi lebih oksigen.

Katanya, ini kerana pengguna sudah pun mendapat bekalan oksigen mencukupi di dalam udara yang mengandungi 21 peratus bahan itu.

Mengenai masalah kekurangan doktor di negara ini, Abdul Latiff berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah seperti melantik semula doktor yang telah bersara yang mempunyai rekod khidmat cemerlang.

Langkah lain ialah menggunakan khidmat doktor swasta secara bermusim, menambah kuota mahasiswa perubatan, mengambil doktor bukan warganegara secara kontrak dan menambah insentif kerjaya pegawai perubatan, katanya menjawab soalan Datuk Richard Riot Jaem (BN-Serian).

- Bernama