Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Produk kosmetik tradisional beracun dibatal pendaftaran
Utusan Malaysia : Produk kosmetik tradisional beracun dibatal pendaftaran PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 12:56

 

KUALA LUMPUR – Produk kosmetik jenama Cool and Lightening Soap keluaran Sendayu Tinggi Body dan Skincare (M) Sdn. Bhd. adalah antara barangan yang dibatalkan pendaftarannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan.

Produk itu dikesan mengandungi racun berjadual hydroquinone yang boleh menyebabkan pigmentasi dan risiko kanser kulit.

PBKD dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini memberitahu, bahan itu juga boleh mendatangkan kesan sampingan seperti kemerahan dan perubahan warna kulit selain kulit menjadi terlalu sensitif.

PBKD juga telah membatalkan pendaftaran dua produk tradisional Chatlin Brand Hao Zhou San dan San Qi Luohan Chuanbei Plus Capsule juga kerana mengandungi racun berjadual.

Produk Chatlin Brand Hao Zhou San keluaran Shanghai Chatlin Pharmaceutical Company itu mengandungi ephedrine yang boleh menyebabkan kesan sampingan seperti tekanan darah tinggi dan kesan kardiovaskular yang lain.

Produk San Qi Luohan Chuanbei Plus Capsule keluaran Trinity Marvel Sdn. Bhd. pula mengandungi pseudoephedrine yang boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pening, mengantuk, kering pada mulut atau kerongkong, kegelisahan, telinga berdengung, kerap membuang air kecil dan boleh memburukkan lagi keadaan glaukoma, asma atau penyakit paru-paru kronik.

Satu lagi produk yang dibatalkan pendaftarannya, kata kenyataan itu, ialah produk tradisional N-Nanz keluaran Heaven Natural (M) Sdn. Bhd. kerana dikesan mengandungi racun berjadual homosildenafil (analog sildenafil) yang tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional.

Pengguna tidak sepatutnya menggunakan produk tradisional yang mengandungi sildenafil (ataupun analognya) kerana penggunaannya tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan sampingan seperti tekan darah rendah dan kesan kardiovaskular yang lain.

Individu yang menjual produk-produk berkenaan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.