Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Kos pembinaan dijangka meningkat 15 peratus
Utusan Malaysia : Kos pembinaan dijangka meningkat 15 peratus PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 13:00

 

PULAU PINANG– Kos pembinaan terutamanya di bandar-bandar utama dijangka meningkat sehingga 15 peratus tahun depan berikutan kenaikan mendadak harga komoditi utama binaan di pasaran.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan Fook Sing berkata, jangkaan itu berdasarkan perubahan makro kos bahan binaan ekoran kenaikan berterusan yang berlaku pada bahan api dan minyak.

Beliau berkata, peningkatan kos terutama bahan asas binaan seperti besi, simen, tar, keluli dan keperluan pengangkutan ekoran kenaikan dua komoditi utama itu semakin dirasai oleh kontraktor dan pemaju perumahan.

‘‘Oleh itu, corak penentuan harga jualan rumah pada masa ini sangat dipengaruhi oleh kenaikan harga minyak dan bahan api dalam pasaran semasa, saya tidak fikir kenaikan itu dapat dielakkan. Ia tetap akan naik dan akan terus naik.

‘‘Peningkatan harga pengeluaran meningkat A hingga Z dan ini menyebabkan kos pembinaan secara keseluruhannya juga akan meningkat. Pemaju tiada cara lain selain perlu meletakkan harga sesuai dengan perkembangan ini bagi mengelakkan kerugian.

‘‘Sesuatu perlu dilakukan iaitu pihak kerajaan negeri perlu mengubah syarat-syarat pembinaan perumahan supaya rumah yang tinggi melebihi lima tingkat boleh dibina di kawasan bandar. Itu antara langkah yang boleh mengurangkan kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan mengenai kesan pembangunan infrastruktur kepada bidang hartanah di Pulau Pinang pada Simposium Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER): Potensi Pulau Pinang di sini hari ini.

Simposium itu dianjurkan oleh Abad Naluri Sdn. Bhd, syarikat sekutu Equine Capital Bhd., pemaju utama Penang Global City Center (PGCC) yang bernilai RM25 bilion.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan bertindak sebagai moderator dalam seminar sehari itu.

Hadir sama, Pengerusi Equine Capital, Datuk Patrick Lim. Kira-kira 100 peserta terdiri daripada ahli perniagaan, kontraktor dan badan bukan kerajaan (NGO) menghadiri seminar itu.

Menurut beliau, melihat kepada corak kepenggunaan semasa, peningkatan kos upah pekerja juga perlu diberi perhatian kerana ia turut menyumbang kepada kenaikan kos pembinaan.