Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bernama : Peniaga Dakwa Dipukul Wakil Peraduan Gores Dan Menang
Bernama : Peniaga Dakwa Dipukul Wakil Peraduan Gores Dan Menang PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 14:21

13 November 2007

 

JOHOR BAHARU, 13 Nov (Bernama) -- Seorang peniaga, Lee Tee Keng, 25, hari ini mendakwa dia dipukul dan ditendang selepas enggan melayan permintaan dua wakil jualan untuk mencuba peraduan "gores dan menang" di rumahnya di Jalan Ayu 37, Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram, dekat sini, malam semalam.
"Saya tahu mereka cuba menipu dan saya enggan beri kerjasama. Ini membuatkan mereka bertindak kasar dengan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum beredar dari pintu pagar," katanya pada sidang akhbar yang diatur oleh Pasukan Membanteras "Gores dan Menang" Pemuda MCA Johor Baharu di sini hari ini.

Lee berkata, ekoran tidak puas hati dengan sikapnya, dua wakil jualan itu sekali lagi datang ke rumahnya bersama dua lagi lelaki dan seorang wanita selepas dia dan keluarga pulang dari makan malam untuk memujuknya mencuba peraduan itu.

"Mereka sekali lagi mengeluarkan kata-kata kesat sebelum tiga lelaki menendang perut dan memukul saya dengan alasan saya membalas kata-kata kesat mereka dan dikatakan mengasari wakil jualan wanita itu," katanya.

Kejadian itu dileraikan oleh beberapa anggota polis peronda yang sedang meronda di kawasan tersebut sebelum Lee dan wakil jualan itu diminta membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi Indah.

"Saya tidak tahu tindakan yang dikenakan polis terhadap wakil jualan itu, tetapi apa yang saya kesalkan tindakan mereka sudah melampau kerana berani menggunakan kekerasan terhadap pengguna," katanya.

Ketua Pasukan Membanteras "Goreng dan Menang" Pemuda MCA Johor Baharu, Kua Song Tuck, berkata kejadian itu patut dipandang serius oleh semua pihak kerana nyawa pengguna diancam.

"Sejak pasukan ini ditubuhkan awal Januari lepas kita menerima lebih 200 aduan membabitkan penipuan "gores dan menang" di Johor dan kita pernah membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor tetapi mereka memberi alasan kekurangan anggota untuk membuat pemantauan," katanya.


--BERNAMA