Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Cabutan tiada tuah RM37,500
Harian Metro : Cabutan tiada tuah RM37,500 PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 14:34

 

GOMBAK: Hanya kerana diumpan dengan hadiah sebuah televisyen 29 inci, kerusi urut dan pelbagai barangan elektrik lain, seorang wanita warga emas berusia 68 tahun kerugian besar selepas disyaki ditipu 'hidup-hidup' sindiket cabutan bertuah.

Mangsa dikatakan kerugian RM37,500 selepas membayar wang itu kepada sebuah syarikat di Taman Rawang Putra, Rawang, Selangor, sebelum dibolehkan menuntut hadiah utama lain ditawarkan iaitu sebuah kereta dan wang tunai RM160,000 pada bulan ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Mohd Abdullah, berkata mangsa terpedaya dengan sindiket itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang tidak dikenali pada awal tahun lalu.

"Mangsa mendakwa suspek menelefonnya untuk memberitahu kononnya dia memenangi hadiah cabutan bertuah dan menyuruhnya ke pejabat kumpulan sindiket itu yang beroperasi di Rawang," katanya.

 "Penjenayah itu memberikan janji manis dengan menyuruh mangsa ke pejabat syarikat itu 10 bulan selepas itu untuk menuntut hadiah utama lain.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari dia ditipu apabila ke pejabat itu dan mendapati ia sudah tutup, malah nombor telefon kakitangan syarikat itu tidak dapat dihubungi," katanya.

Mohd berkata, suspek yang dicari polis ialah seorang wanita Melayu berusia 25 tahun dan sindiket itu memperdaya mangsa dengan menghantar surat melalui faks serta memberitahu mangsa memenangi sebuah kereta dan wang tunai RM160,000.

"Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan pihak kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Menurutnya, warga emas, terutama yang tinggal bersendirian, diminta berhati-hati kerana taktik penipuan seperti itu sering berlaku dan menjadikan golongan warga tua sebagai sasaran.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai hal ini dan individu menggunakan helah sama diminta menghubungi Inspektor Nor Azman Yusof dan Sarjan Harun Hassan (Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Gombak) di talian 03-6126222 sambungan 525/324.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, semalam.