Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Sindiket gores dan menang kaut untung RM30 bilion
Utusan Malaysia : Sindiket gores dan menang kaut untung RM30 bilion PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 14:42

26 Disember 2007

 

JOHOR BAHRU -  Beberapa sindiket gores dan menang di Malaysia dipercayai mengaut untung sehingga lebih RM30 bilion atau kira-kira RM2 bilion setahun daripada rakyat Malaysia sejak 15 tahun lepas menerusi aktiviti penipuan itu, menurut sebuah jawatankuasa khas MCA berhubung kegiatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Gores dan Menang MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck yang mendedahkan perkara itu berkata ia merupakan suatu jumlah yang amat konservatif, dan beliau percaya jumlah sebenarnya adalah jauh lebih tinggi.

“Kami percaya jumlah sebenarnya adalah jauh lebih tinggi kerana kegiatan penipuan oleh sindiket ini jauh lebih meluas dan ia juga sudah lama bertapak,” katanya di dalam satu temu ramah eksklusif dengan Bernama.

Menurutnya, setiap sindiket terbabit mempunyai ratusan ejen-ejen dan syarikat yang beroperasi di sebalik lesen jualan langsung di setiap negeri, dengan jualan pelbagai barangan hasil penipuan mereka mencecah jutaan ringgit setiap hari.

Kua berkata siasatan terhadap sebuah syarikat yang dimiliki oleh sindiket terbabit di Johor Bahru baru-baru ini mendapati, jualan harian yang dicatatkan oleh kira-kira 50 ejennya mencecah sehingga RM50,000 setiap hari.

Jadi bayangkan jika setiap sindiket itu mempunyai ratusan syarikat dan ribuan ejen yang bergerak aktif di seluruh negara, adalah tidak mustahil jika jumlah penipuan yang dilakukan mereka setiap hari mencecah jutaan ringgit setiap hari,” katanya.

Beliau mendakwa hampir setiap keluarga di Malaysia sama ada pernah menjadi mangsa, atau didatangi oleh ejen-ejen sindiket gores dan menang yang menawarkan pelbagai hadiah kepada mereka dengan syarat perlu membayar sejumlah wang.

Kua juga mendedahkan bahawa kegiatan gores dan menang dalam negara didalangi oleh empat sindiket yang menjalankan operasi mereka dari beberapa tempat di Pulau Pinang, dan menurutnya keempat-empat individu berumur sekitar 40-an yang digelarnya sebagai “Kings” itu, sememangnya amat dikenali di kalangan masyarakat Cina.

“Mereka amat kaya, hartawan. Mereka kini mempelbagaikan perniagaan kepada bidang hartanah, pembalakan dan lain-lain. Malah mereka juga muncul sebagai dermawan dengan menderma kepada pembinaan sekolah-sekolah dan lain-lain lagi,” kata Kua.

– Bernama