Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Belum ada aduan harga barang naik
Berita Harian : Belum ada aduan harga barang naik PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 14:45

14 Disember 2007

 

KUALA LUMPUR: Harga barang keperluan masih kekal dan tiada peniaga menaikkan harga setakat ini, walaupun beberapa negeri dilanda banjir sejak awal bulan lalu,’ kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk S Veerasingam.

Beliau berkata, walaupun banjir menyebabkan bekalan beberapa barang keperluan sukar diperoleh, kementerian berpuas hati kerana setakat ini belum ada peniaga dilaporkan mengambil kesempatan menaikkan harga barang, malah ada sesetengah barang dijual lebih murah daripada harga ditetapkan. 

“Kementerian sentiasa menempatkan pegawai untuk memantau harga barang di pasaran, terutama apabila beberapa negeri kini dilanda banjir. Setakat ini, tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga walaupun bekalan barang berkurangan dan sukar diperoleh kerana banjir dan cuaca kurang memuaskan.

“Malah, ada barang yang dijual lebih murah. Di Johor, ayam dijual RM5.10 sekilogram berbanding harga biasa, antara RM5.70 hingga RM6,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kepenggunaan anjuran KPDNHEP dan Pergerakan Pengguna Pekerja Malaysia (PPPM) di sini, semalam.

Veerasingam berkata, pengguna turut dinasihatkan tidak panik dan membeli barang berlebihan daripada keperluan kerana ia akan menyebabkan keputusan bekalan dan menyukarkan pengguna lain.

“Walaupun banjir, kita pastikan bekalan barang di semua tempat mencukupi. Setakat ini bekalan masih mencukupi. Tak perlulah beli minyak sampai 10 kilogram (kg) sedangkan keperluan hanya sekilogram kerana nanti tak cukup di pasaran dan akan menimbulkan masalah kepada pengguna lain.

“Pegawai kita bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan masalah terputus bekalan, terutama sepanjang kejadian banjir di beberapa negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP mengutip kompaun berjumlah RM268,630 daripada 1,433 peniaga yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk penipuan harga melalui 996,408 pemeriksaan sejak Ops Gaji dilancarkan 21 Mei lalu hingga semalam.

Dalam perkembangan lain, Veerasingam berkata, kadar muflis di kalangan pengguna kad kredit makin meningkat dan membimbangkan dengan purata setiap pengguna memiliki tiga kad kredit dan orang ramai dinasihat bijak mengurus belanja.

Beliau berkata, seramai 1,497 pemegang kad kredit diisytiharkan muflis berbanding 1,152 pada 2003 dan 1,117 pada 2002.

“Sebelum ini orang muflis kerana tak mampu bayar hutang bank, tapi kini ramai muflis akibat beban hutang kad kredit. Proses mendapatkan ‘wang plastik’ ini sangat mudah kerana mereka bergaji serendah RM1,000 sebulan pun boleh memohon,” katanya.