Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Kurang minyak masak belenggu penduduk Perlis
Utusan Malaysia : Kurang minyak masak belenggu penduduk Perlis PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 14:48

 

KANGAR -  Masalah kekurangan bekalan minyak masak kembali membelenggu Perlis apabila kalangan pengguna di negeri itu mengadu sukar untuk mendapatkan bahan masakan itu.

Disebabkan masalah yang dikatakan sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu itu, ada kalangan mereka yang terpaksa mencari bekalan tersebut sehingga ke Alor Star dan Sungai Petani di Kedah.

Namun, golongan yang paling teruk terjejas ialah mereka yang bakal mengadakan majlis kenduri perkahwinan yang memerlukan bekalan minyak yang banyak untuk memasak.

 

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah pasar raya dan kedai runcit di sekitar negeri ini mendapati, rak-rak yang menempatkan minyak masak kosong dan diletakkan tanda ‘minyak masak habis’.

Sesetengah peniaga ketika ditemui berkata, mereka terpaksa mengehadkan jualan minyak masak itu kepada pelanggan masing-masing.

Seorang pengurus di sebuah pasar raya, Shahmel Nizam Jamel berkata, ramai pelanggannya merungut dengan masalah kekurangan minyak masak itu.

‘‘Kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana bekalan yang kami peroleh dari pembekal juga adalah berkurangan.

‘‘Justeru, kami terpaksa mengehadkan jualan minyak masak kepada setiap pelanggan agar pelanggan lain juga mendapatkan bekalan,” katanya.

Berikutan masalah yang semakin meruncing itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat memantau serta menyelesaikannya dengan segera memandangkan umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.