Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Umpan hadiah
Harian Metro : Umpan hadiah PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 14:53

29 November 2007

 

SEREMBAN: Individu tertentu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan ala cabutan bertuah menggunakan kaedah mendesak mangsa supaya segera mengambil hadiah lumayan yang kononnya ditawarkan kepada mereka.

Kebiasaannya, anggota sindiket akan menghubungi mangsa pada waktu malam dan meminta mangsa supaya segera datang mengambil hadiah lumayan termasuk kereta dan wang tunai di pejabat mereka bagi memudahkan mereka menghilangkan diri ke lokasi lain selepas memperdaya mangsa.

Dalam kejadian terbaru, seorang kakitangan swasta hampir terpedaya dengan tawaran hadiah lumayan yang kononnya dianjurkan gabungan syarikat elektrik untuk mendapatkan pelepasan cukai.

Kakitangan swasta itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zaharah, 49, berkata dia menerima panggilan daripada seorang wanita kira-kira jam 8 malam, 21 November lalu yang memaklumkan dia terpilih sebagai pemenang sedangkan dia tidak pernah menyertai sebarang peraduan.


"Wanita yang mendakwa kakitangan dari Bahagian Perkhidmatan Pelanggan dari gabungan 16 syarikat elektrik berkata saya terpilih menerima tawaran hadiah lumayan daripada pihaknya secara percuma dalam usaha mereka mendapat pelepasan cukai.

 "Hadiah yang ditawarkan termasuk sebuah kereta, wang tunai RM30,000 dan paling minimum sebanyak RM1,000," katanya ketika ditemui semalam.

Zaharah berkata, pemanggil itu mendakwa memperolehi maklumat mengenai dirinya menerusi kad waranti pembelian barangan elektrik beberapa bulan lalu.

"Saya bagaimanapun mengesyaki sesuatu tidak kena pada percakapan wanita itu seolah-olah dia membaca skrip.

"Dia menghubungi saya menerusi telefon rumah dan apabila saya meminta nombor telefon syarikatnya, wanita itu berdalih kononnya tidak tahu," katanya yang tinggal di Port Dickson.

Zaharah berkata, wanita itu secara tergesa-gesa meminta menghubungi seorang lelaki untuk mendapat maklumat lanjut berhubung tuntutan hadiah yang ditawarkan.

"Saya menghubungi lelaki itu dan dimaklumkan syarikat mereka tiada kaitan dengan gores dan menang sebaliknya mendakwa mahu menolong pembeli selain mendapat pelepasan cukai.

"Dia mendesak saya mengambil hadiah keesokan harinya di pejabat mereka di Muar, Johor seolah-olah mahu segera meninggalkan tempat itu," katanya.

Menurutnya, dia pelik kerana menerima tawaran hadiah lumayan secara percuma menyebabkan dia tidak pergi ke Muar seperti dijanjikan.

"Saya turut menghubungi Persatuan Pengguna di sana supaya dapat menyalurkan maklumat ini kepada pihak berkuasa namun saya hanya dinasihatkan supaya mengabaikan tawaran itu," katanya.

Zaharah berkata, cara yang digunakan individu itu mirip kejadian menimpa seorang suri rumah yang kehilangan wang simpanan RM17,000 yang dilaporkan Harian Metro Selasa lalu.