Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Naikkan harga sesuka hati
Harian Metro : Naikkan harga sesuka hati PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 15:10

16 November 2007

 

ALOR STAR: Segelintir pengusaha stesen minyak di bandar raya ini dikesan mengambil keuntungan berlebihan apabila menaikkan harga barangan melebihi paras biasa yang dijual di kedai runcit tanpa alasan munasabah.

Kenaikan harga sesuka hati itu menyebabkan harga antara satu stesen minyak dengan stesen lain tidak selaras dan sekali gus menjadi tanda tanya orang ramai.
 

Tinjauan semalam mendapati stesen minyak di Jalan Langgar dikesan menjual minuman berkarbonat pada harga RM3.50 untuk 1.5 liter. Bagaimanapun petugas di situ mendakwa harga itu mungkin dinaikkan lagi.

"Tahun depan kemungkinan harga itu akan dinaikkan lagi, kami tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga kerana pengedar yang menaikkan harga itu lebih awal," katanya.


Tinjauan di stesen minyak di Jalan Sultanah pula mendapati sebotol air berkarbonat 1.5 liter dijual pada harga RM3.60 iaitu 10 sen melebihi stesen minyak di Jalan Langgar.                   

Petugas yang enggan dikenali di situ, berkata mereka terpaksa menjual pada harga itu walaupun agak mahal jika dibandingkan dengan kedai biasa.

"Saya tidak tahu harga sebenarnya, harga itu ditetapkan pihak pengurusan dan saya terpaksa akur arahannya," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sebuah kedai runcit di Jalan Sultanah pula menjual minuman sama dengan saiz sama pada harga lebih murah iaitu RM3.20 sebotol.

Petugasnya, Sharifah Shamsudin, 30, berkata, harga itu baru dinaikkan sebulan lalu.

"Dulu harganya RM2.90 saja. Bagaimanapun, sudah dinaikkan kepada RM3.20 sejak sebulan lalu selepas pengedar menaikkannya.

"Kami tidak boleh menaikkan harga barang sesuka hati kerana ia menyalahi peraturan selain turut menjejaskan perniagaan," katanya.

Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Velu, 45, mendakwa dia terkejut apabila membeli sebotol minuman dengan harga RM3.50 di sebuah stesen minyak di Jalan Langgar.

"Harga itu memang tinggi dan sepatutnya pihak berkuasa mengambil perhatian mengenai masalah itu, sekarang semua harga barang semakin naik malah dijangka naik lagi pada awal tahun depan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Datuk Yusoff Ismail, berkata beliau menerima banyak rungutan mengenai harga minuman yang tidak selaras di stesen minyak.

"Rungutan itu semakin ketara sejak akhir-akhir ini terutama selepas kenaikan gaji kaki tangan kerajaan beberapa bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, memang sebahagian barangan yang dijual di stesen minyak mahal. Pihak berkuasa perlu memantau harga barangan yang dijual di stesen minyak kerana bimbang berlaku penipuan.

"Disebabkan harga yang tidak selaras itu ia sudah pasti menyusahkan orang ramai kerana harga jualannya sangat berbeza berbanding di kedai runcit biasa," katanya.

Beliau berkata, jika semuanya naik ia akan menjejaskan orang yang berpendapatan rendah termasuk pekerja swasta yang gajinya tidak dinaikkan syarikat.