Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Pantau harga ayam kena buat setiap hari
Berita Harian : Pantau harga ayam kena buat setiap hari PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 15:12

13 November 2007

 

Surat 

ISU kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam di pasaran sepanjang Ramadan menjadi isu nasional kerana banyak peniaga ayam menaikkan harga. Tindakan tidak bijak peniaga menaikkan harga sekilogram ayam sehingga RM7.80 sekilogram mendapat liputan meluas bukan saja pihak pengguna, malah juga pihak berwajib.

Sebelum ini, harga sekilogram ayam bersih dijual dengan harga RM5.40 oleh pemborong kepada peniaga dan RM6 oleh peniaga kepada pengguna.

Kenaikan yang tidak munasabah ini amat memeranjatkan kerana ayam dikategorikan sebagai barangan terkawal oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna terutama pada musim perayaan.

Sudahlah harga naik dengan melampau, bekalan atau stok ayam juga semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan saja memburukkan lagi keadaan, malah menyukarkan pengguna terutama umat Islam dalam menyambut kedatangan Ramadan dan awal Syawal, baru-baru ini.

Hal ini berlaku disebabkan peniaga ingin menaikkan lagi harga ayam kerana seperti yang kita sedia maklum, pada bulan Syawal semestinya permintaan terhadap ayam meningkat dan mereka boleh menangguk di air keruh.

Memburukkan lagi situasi, ada di kalangan peniaga yang enggan meletakkan tanda harga selepas menaikkan harga ayam kerana mereka takut pelanggan akan lari. Dengan tidak meletakkan tanda harga, pelanggan mereka tidak akan sedar bahawa ayam yang mereka beli sudah mengalami kenaikan harga.

 

Tindakan ini juga akan menyukarkan pelanggan untuk membuat perbandingan harga jika ada peniaga yang menjual ayam lebih daripada harga siling.

Pelbagai alasan diberikan oleh peniaga, jika ada yang tertangkap dan didakwa kerana menaikkan harga ayam. Ada yang menyatakan bahawa mereka terpaksa menaikkan harga kerana pembekal menaikkan harga ayam mentah. Kenaikan harga makanan ayam, terutama dedak dan jagung yang biasanya diimport dari luar negara dijadikan alasan.

Tetapi, apa yang lebih rasionalnya di sini ialah kurangnya pemantauan daripada pihak berwajib. Secara logiknya, tidak ada peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang jika pemantauan harga sering dilakukan.

Justeru, peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus dicontohi kerana sudah mula turun padang agar perkara ini dapat dikawal. Peranan ini bukan saja harus dicontohi oleh pihak berwajib lain, tetapi juga oleh badan bukan kerajaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa perkara ini berlarutan kerana permintaan terhadap daging ayam semakin meningkat dan melebihi permintaan biasa kerana musim perayaan. Ini menyebabkan ada antara pembekal yang tidak mampu membekalkan bekalan kepada pasaran.

Pengguna tempatan kini bukan saja bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan bekalan ayam, tetapi juga bersaing dengan pengguna asing. Ada pembekal ayam kita adalah juga pengeksport ayam ke negara jiran terutama di selatan tanah air.

Kita tidak boleh menyalahkan pembekal ini kerana pengguna asing ini mampu membayar harga lebih tinggi bagi sekilogram ayam.

Sebagai pembeli, kita seharusnya tahu bahawa kuasa beli itu terletak di tangan kita dan bijak membuat keputusan. Pembeli yang bijak seharusnya tahu untuk membeli apa yang perlu saja dan bijak membandingkan harga barang keperluan. Sikap tidak ingin ambil tahu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Kawalan dan tindakan harus diperketatkan oleh pihak berwajib kepada sesiapa yang gemar menaikkan harga barangan kawalan sesuka hati. Agensi tertentu diharap dapat selalu turun padang agar dapat mendengar rintihan dan apa juga masalah pembeli.

Undang-undang harus diperketatkan seperti mengenakan hukuman penjara dan denda maksimum agar perkara ini menjadi teladan kepada peniaga lain. Penguatkuasaan dan pemantauan juga harus diperketatkan bagi pembekal dan pemborong kerana merekalah yang membekalkan ayam dan menentukan bekalan di pasaran, bukannya peniaga saja.

Kita harus tegas dengan keputusan kita. Langkah drastik harus diambil seperti memboikot peniaga yang melampaui batas, agar hak kita sebagai pengguna tidak diperkotak-katikkan.


MUHAMMAD SHAHIR MUSTAFAR,
Pangsapuri Nilam Sari,
Shah Alam.