Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Sabah&Sarawak:Mi, kuetiau makin mahal
Berita Harian : Sabah&Sarawak:Mi, kuetiau makin mahal PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 15:17

 

Peniaga makanan berasaskan tepung mungkin naikkan harga sajian untuk tampung kos beli bahan mentah

KUCHING: Kesan kenaikan harga tepung dan minyak masak mula terasa tempiasnya apabila pengilang mi dan kuetiau mula menaikkan harga barang basah berkenaan mulai awal bulan ini dengan peniaga makanan dijangka menaikkan harga hidangan siap mulai awal tahun depan.
Di sebalik alasan kenaikan bahan asas penghasilan produk berkenaan, pengguna menjadi mangsa apabila pengilang cuba mengalihkan kos pengeluaran kepada mereka yang masih tetap akan membeli produk berkenaan.

Sebelum ini, sebungkus mi kuning dan kuetiau seberat 500 gram dijual antara 80 hingga 90 sen dan satu kilogram mi kolok dijual RM3.60, bagaimanapun harganya dinaikkan sehingga 25 peratus apabila mi kuning dan kuetiau kini berharga antara RM1.20 hingga RM1.30 sementara mi kolok RM4.

Tidak hairanlah peniaga barangan makanan seperti mi goreng, kuetiau sup dan mi kolok sudah mula berkira-kira untuk menaikkan harga hidangan berkenaan dengan alasan kos bahan mentah yang semakin meningkat.

Tinjauan Berita Harian di Pasar Jalan Gambier dan Pasar Satok mendapati orang ramai mula merungut dengan kenaikan berkenaan walaupun terpaksa akur dengan harga baru berbeza dengan penjual yang menganggap tindakan menaikkan harga akan mengurangkan margin keuntungan mereka.

 

Bagi peniaga kedai makanan, untuk menaikkan harga hidangan mereka secara drastik adalah mustahil kerana boleh menimbulkan kemarahan pengguna dengan mereka setakat ini cuba lagi bertahan dengan harga lama.

Buat tempoh masa sekarang, sepinggan mi goreng masih lagi dijual pada harga RM3 sementara semangkuk kuetiau sup dan mi kolok pula berharga antara RM2 hingga RM2.50, bagaimanapun, tiada peniaga yang berani mengatakan harga itu akan kekal memandangkan kenaikan kos bahan mentah yang mula terasa.

Bagi Sabri Abdullah, 42, peniaga kafe di Samarahan, berkata kenaikan kos bahan mentah hanya mengurangkan peratus keuntungannya, bagaimanapun dengan hasil jualannya kini, dia masih mampu menyerap kos berkenaan.

"Memang keuntungan bakal berkurangan tetapi kami sebagai peniaga terpaksa menerimanya dan pada sama juga harus mengekalkan kualiti hidangan supaya pelanggan tidak lari.

"Untuk menaikkan harga adalah sukar kerana di kawasan saya berniaga kebanyakan pelanggan adalah pelajar dan kakitangan universiti yang sudah biasa dengan harga yang kami tawarkan," katanya.

Sabri bagaimanapun tidak menolak kemungkinan harga hidangan di kedainya dinaikkan jika kos bahan mentah yang lain turut naik sehingga menyamai kos penghasilan hidangan.

"Banyak aspek yang harus difikirkan sebelum menaikkan harga hidangan dengan kami harus mengira semua kos bahan sampingan lain seperti gas, pembungkus dan ramuan sebelum harga hidangan dinaikkan.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada peniaga yang akan menaikkan harga makanan di kedai mereka serentak dengan kenaikan harga bahan mentah," katanya.

Bagi suri rumah, Rosnah Adnan, 42, berkata walaupun kenaikan harga mi kuning cuma 40 sen, bagi keluarga yang mempunyai ramai ahlinya ia tetap akan terasa.

"Saya membeli mi dua minggu sekali dengan jumlah yang dibeli cuma satu kilogram (kg) . Dulu dua bungkus mi kuning baru berharga RM1.60 tetapi hari ini harganya RM2.40 bermakna mahal 80 sen.

"Mujur juga saya jarang memasak mi tetapi pada keluarga yang besar sehingga terpaksa membeli sehingga lebih dua kg mi untuk sekali sajian, bagaimana pula keadaan mereka," katanya.

Ditanya kemungkinan suri rumah memboikot mi kuning, Rosnah menganggap ia agak sukar dilakukan kerana kebanyakan mereka masih mampu untuk membeli barangan berkenaan.

"Sebelum ini minyak masak juga mengalami kenaikan harga sehingga RM3.80 sepaket, namun masih juga ia terjual seperti biasa dengan saya juga berasa orang ramai akan terus membeli mi kuning seperti biasa.

"Memasak mi di rumah pada saya masih praktikal, berbanding keluar makan di kedai kerana ia memerlukan kos lebih tinggi, selain timbul pula masalah lain seperti mencari petak meletakkan kenderaan," katanya.

Bagi seorang penjual mi kuning, kuetiau dan mi kolok di Pasar Satok, Lee, 66, berkata dia sudah berniaga di situ lebih 10 tahun dan masih mengingati harga sebungkus mi kuning sekitar 90-an cuma 40 sen sebungkus.

"Saya bukan sesuka hati menaikkan harga mi kuning dan kuetiau tetapi pengeluar yang menaikkannya dengan kami penjual terpaksa mengikut harga baru jika tidak mahu rugi.

"Dulu saya boleh menjual lebih 40 kilogram mi kuning setiap hari tetapi saya tidak tahu sama ada masih mampu menjual jumlah itu selepas harganya dinaikkan sekali lagi," katanya.

Lee menjelaskan keuntungan jualan mi kuning dan kuetiau sebenarnya tidaklah besar kerana mereka hanya bertindak sebagai orang tengah antara pengeluar dengan pembeli.

"Untung tidak banyak kerana kami juga harus menanggung kos sewa kedai dan tapak, selain terpaksa bersaing dengan peniaga lain bagi menarik pelanggan datang ke kedai.

"Sepanjang ingatan saya, mi kuning dan kuetiau tidak mengalami kenaikan harga mendadak seperti barangan lain dengan harga barunya masih lagi dianggap mampu dibeli olah orang ramai," katanya.

Ironinya, apa jua kenaikan yang berlaku, pengguna selaku pemegang hak membeli haruslah bijak memilih kedai makanan yang murah termasuk merancang kuantiti makanan yang hendak dimasak sebelum keluar berbelanja.