Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Kekang taktik naik harga barangan berasas tepung
Utusan Malaysia : Kekang taktik naik harga barangan berasas tepung PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 15:46

 

Pendapat

HARGA barang makanan berasaskan tepung seperti roti, roti canai, biskut, kuih dan mi dijangka naik berikutan peningkatan kos bahan mentah terutama tepung gandum.

Walaupun peniaga tidak menaikkan harga makanan secara mendadak, kemungkinan peniaga atau pengeluar makanan akan cuba mengelirukan pengguna melalui cara lain.

Pembuat karipap umpamanya mungkin akan mengurangkan saiz karipap seperti yang pernah berlaku terhadap roti canai apabila harganya kekal, tetapi saiznya dikecilkan.

Meskipun kerajaan memberi amaran bahawa harga barangan tidak akan dinaikkan ke tahap yang tidak munasabah ekoran persetujuan pengilang namun tindakan ini tidak akan memberi sebarang kesan.

Ada pihak yang meminta langkah-langkah tertentu diambil segera bagi mengatasi gejala yang akan meresahkan rakyat, termasuk menawarkan lebih banyak permit import bahan asas itu agar ia dapat dilambakkan dengan harga lebih rendah.

Beberapa bulan lalu, para pengilang tepung telah mencadangkan kenaikan harga 50 sen untuk harga tepung. Ia ditolak kerana tidak munasabah disebabkan ia hanya dimonopoli oleh pihak tertentu sahaja.

Apa yang pasti, kenaikan harga tepung yang mendadak kebelakangan ini seolah-olah dirancang oleh pihak pengilang selepas kerajaan selesai menaikkan gaji kakitangan awam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna seharusnya segera menubuhkan suruhanjaya harga secepat mungkin bagi mengelak pengguna terus dibebani kenaikan harga barang.

Dengan suruhanjaya itu, kerajaan boleh menyelaras harga barang yang tidak dinaikkan sejak sekian lama supaya sebarang kenaikan barang tidak membebankan pengguna.

Harga tepung yang tidak dinaikkan sejak 10 tahun lalu mungkin boleh dinaikkan dalam tempoh antara tiga atau empat tahun dengan kadar kenaikan minimum, misalnya antara tiga atau lima sen saja sekali gus tidak memberi tekanan kepada pengguna.

Rakyat, terutamanya yang bergantung seratus peratus kepada gaji bulanan bagi menyara keluarga, tentunya menaruh harapan tinggi terhadap jaminan kerajaan bagi memastikan usaha mengekang kenaikan harga barang-barang keperluan harian dilaksanakan.

Sebelum ini ramai yang meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir peniaga yang telah menaikkan dulu harga barang antara lima hingga 15 peratus sebelum kerajaan umumkan kenaikan gaji kakitangan awam Julai lalu.

Antara alasan pemborong dan peniaga kedai runcit ialah kononnya pengilang menaikkan harga kerana mereka tiada pilihan lain kecuali menjual pada harga lebih tinggi kepada peruncit.

Apa juga alasan yang diberikan golongan ini termasuk pengilang seperti kenaikan kos operasi dan sebagainya, tindakan menaikkan harga barang runcit sesuka hati menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab selain tidak prihatin terhadap kemampuan rakyat khususnya golongan pendapatan rendah.

Kita juga tidak mahu berikutan kenaikan beberapa harga barangan itu akan memberi kesan kepada kadar inflasi negara yang berada pada paras rendah dalam jajaran antara 1.9 peratus hingga 2.5 peratus mulai Mac lalu hingga akhir tahun ini, akan turut melonjak.

Kita amat berharap agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengambil tindakan lebih tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang tanpa sebab munasabah.

Pemantauan terhadap 255 jenis barang pengguna setiap minggu bagi memastikan harganya tidak melebihi paras harga siling ditetapkan perlu dibuat secara berterusan dan menyeluruh bukan saja ke atas peruncit malah pengilang dan pemborong yang boleh menipu dengan cara halus.

Selain mengharapkan pihak berkuasa, kita sebagai pengguna harus memainkan peranan mengajar peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya dengan memboikot kedai atau restoran mereka.

– WAN MARZUKI WAN RAMLI

Pasir Mas, Kelantan.