Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Peniaga tersepit naik harga barang
Harian Metro : Peniaga tersepit naik harga barang PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 15:50

 

KOTA TINGGI: Peniaga barangan runcit di kawasan ini mengakui tersepit untuk menjual barangan pada harga lebih tinggi kepada pengguna kerana mereka membeli daripada pembekal pada harga lebih mahal daripada biasa.

Peniaga, K Sakthi, berkata dia menanggung kerugian jika terpaksa menjual pada harga ditetapkan kepada pengguna.

"Jika dulu harga bawang merah India diperoleh dari pembekal dengan harga RM4.20 sekilo, tetapi terpaksa dijual kepada pengguna pada harga siling RM4 sekilo, maka kami peniaga runcit terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Dia mengakui, masalah kenaikan harga barang seperti bawang merah, tepung, minyak masak dan mi kuning selepas Aidilfitri lalu mula membimbangkan penduduk di daerah ini dan sebagai peniaga, dia tersepit dengan keadaan itu.

Sakthi yang mempunyai ramai pelanggan dari kalangan peniaga gerai dan restoran di bandar ini, berkata, sebelum ini, setiap sebakul bawang berkenaan memiliki berat 10 kilogram (kg) tetapi kini pembekal mengisi lapan kg sebakul pada harga borong RM33.60.

Saya hanya menerima bekalan tepung gandum generasi baru yang tertera di bungkusan luarnya perkataan diperkayakan dengan vitamin dan harganya naik mendadak kerana tepung itu ditawarkan harga runcit RM2.70 sekilogram berbanding tepung gandum biasa RM1.50 sekilogram.

"Mungkin perbezaannya pada nama komersial atau isi nutrisi kandungannya membolehkan pembekal menetapkan harga berbeza, sehingga menyebabkan pelanggan merungut," katanya yang berniaga di gerai disediakan Majlis Daerah Kota Tinggi berhampiran Kompleks Pasar Awam di sini.

Peniaga lain, Hussin Mohamed, berkata harga tidak menentu bagi barangan runcit yang dibeli daripada pembekal menyukarkan peniaga menguruskan perniagaan kerana pada masa sama, perlu menjaga kepentingan pelanggan.

"Contohnya, peniaga kerap memesan minyak masak dalam botol tetapi jarang mendapat bekalannya dan kami dapat bekalan minyak masak berpaket sahaja pada harga RM2.52 sekilogram dan terpaksa dijual kepada pelanggan dengan harga RM2.70 sekilogram.

"Kenaikan paling ketara ialah tepung gandum dan mi kuning yang harganya bergantung kepada harga pembekal dan kami terpaksa bertolak ansur dengan pelanggan yang selalu meminta supaya mengurangkan harga runcit," katanya.

Peniaga, Mohd Yusof Abdullah, 47, berkata pembekal menetapkan harga RM1.80 dan dia pula terpaksa jual pada harga RM2 untuk mendapatkan untung 20 sen untuk satu paket mi kuning satu kg.

Dia berkata, perbezaan 20 sen itu adalah angka kecil bagi pendapatan kasar yang belum ditolak kos operasi perniagaan membabitkan sewa gerai, bil elektrik, bil air dan gaji harian pekerjanya