Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Jual kad lebih nilai
Harian Metro : Jual kad lebih nilai PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 16:02

 

KOTA BHARU: Segelintir penjual kad tambah nilai telefon di negeri ini dikesan bersikap ‘cekik darah’ apabila nekad menjual kad tambah nilai RM10 dengan harga RM13 sekeping sejak 1 Syawal lalu, malah ada juga yang sanggup menjual kad tambah nilai berharga RM3 dan RM5 kepada RM8.

Difahamkan, penjual terbabit mengambil kesempatan apabila menyedari beberapa kedai menjual kad prabayar tidak menjalankan operasi.

Tinjauan Metro Ahad di beberapa kedai mendapati, golongan ‘tamak’ itu tanpa segan silu dan gentar meletakkan harga kad tambah nilai terbabit sesuka hati.

Mereka turut dikesan menjual kad itu berdasarkan status dan jenis serta model telefon diguna pembeli, sama ada mahal atau sebaliknya.

Jika pelanggan yang datang ke kedai mereka adalah golongan mewah, caj lebih dikenakan, manakala caj berpatutan dikenakan terhadap pelanggan berstatus sederhana.

Seorang pelanggan yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terkejut sebaik dikenakan caj yang difikirkannya tidak logik langsung.

Bagaimanapun, dia terpaksa membeli kad tambah nilai terbabit kerana tiada lagi kedai menjualnya.

“Penjual terbabit mendakwa kad tambah nilai itu menjadi mahal serta ‘naik harga’ kerana kekurangan stok, selain menerima permintaan tinggi.

“Tindakan mereka mengambil kesempatan ketika Aidilfitri dianggap keterlaluan kerana ia boleh menjejaskan kewibawaan kedai telefon lain, terutama yang menjalankan urusniaga dengan jujur,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Celcon Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad, berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada orang ramai berhubung perkara itu.

Menurutnya, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan kerana ia di luar bidang kuasa mereka.

“Apa yang orang ramai perlu lakukan ialah menghubungi atau membuat aduan terus kepada Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (SMK) berhubung ‘penipuan’ itu.

“Namun, sebagai syarikat telekomunikasi gergasi di negara ini, saya kesal dan sedih kerana ada penjual serta pemilik kedai telefon sanggup melakukan perbuatan yang dianggap tidak amanah dan melanggar undang-undang itu,” katanya.