Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bernama : Pengguna Mahu Khidmat Teksi Bajet Dikekalkan
Bernama : Pengguna Mahu Khidmat Teksi Bajet Dikekalkan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 16:09

19 Oktober 2007 


KUALA LUMPUR- Berdasarkan laporan berita baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk menghentikan khidmat teksi bajet dan premier secara berperingkat di Lembah Klang.

Berikutan langkah itu, perkhidmatan teksi di Lembah Klang akan diambil alih oleh teksi mewah atau limusin eksekutif.

Menurut Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (PKLP), Datuk Markiman Kobiran, langkah ini akan dilaksanakan setelah sistem pengangkutan awam yang ada sekarang dipertingkatkan.

Proses ini akan mengambil masa secara berperingkat, iaitu dalam masa 10 tahun, katanya.

Beliau menjelaskan PKLP telah membekukan permit untuk teksi premier manakala pemilik teksi bajet telah diberitahu supaya 'mentatarkan' kenderaan mereka.

Tambang dasar bagi limusin eksekutif ialah RM6, manakala RM2 dan RM4 untuk teksi bajet dan premier.

LANGKAH BIJAK?

Apakah cadangan ini mendapat sambutan baik daripada para pengguna? Rasanya tidak.

Menurut aktivis pengguna dan sosial, Gurmukh Singh, pada harga tambang dasar RM6, limusin mewah bukanlah untuk mereka yang berpendapatan rendah.

Tidak semua penumpang teksi mampu membayar tambang itu, katanya.

"Bila saja anda duduk dalam limusin, meter tambang terus jadi RM6. Teksi jenis ini memang mewah tapi bukan semua penduduk Lembah Klang ahli perniagaan atau orang kaya yang mampu bayar tambang mahal.

"Adakah mereka yang cacat diambil kira dalam hal ini. Ramai daripada mereka berpendapatan rendah. Kalau mereka kaya, sudah tentu mereka pun tak payah guna teksi," tegur Gurmukh.

Beliau percaya daripada pengalaman yang ada, orang ramai masih tidak boleh bergantung pada kemudahan pengangkutan awam.

Laporan berita itu turut menyatakan bahawa kerajaan akan membelanjakan RM10 bilion untuk 3-4 tahun yang akan datang bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.

Gurmukh mendakwa kebanyakan atau hampir semua kenderaan awam tidak mesra kepada penumpang yang cacat.

Sekarang, kalau orang menggunakan kerusi roda mahu pergi ke hospital, mereka hanya perlu telefon teksi bajet dan kerusi roda itu boleh diletakkan dalam but kereta, katanya.

"Susah nak cari bas Rapid KL dan tren LRT yang mesra orang cacat," kata Gurmukh, sambil menambah memang sukar untuk orang cacat anggota atau mereka yang menggunakan kerusi roda untuk naik bas Rapid KL.

Syarikat Prasarana Negara Bhd dan Rapid KL telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk memperbaiki perkhidmatan LRT dan bas di Lembah Klang.

Kata Gurmukh bayaran tambang dasar RM6 adalah mahal dan membebankan mereka yang cacat jika perkhidmatan teksi bajet dihentikan.

"Sayangnya, bila Malaysia sedang mengorak langkah untuk mencapai status negara maju, masih terdapat kekurangan dari segi kemudahan pengangkutan awam untuk orang cacat".

"Saya harap satu kajian yang meyeluruh dijalankan sebelum khidmat teksi bajet dan premier dihentikan," ujar beliau.

PENGANGKUTAN AWAM YANG BOLEH DIYAKINI?

Sementara itu, pendidik Fatimah Mansur menyambut baik kenyataan Markiman yang LPKP sedang meningkatkan kualiti perkhidmatan industri teksi.

"Tapi apakah jaminan yang khidmat pengangkutan awam ada cukup kualiti dan adakah sistem baru ini memberi khidmat yang setimpal dengan perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan," tanya beliau.

Menurut beliau, ramai di kalangan pengguna teksi ialah suri rumah dan pelajar sekolah.

"Apakah anak-anak sekolah ini perlu membayar harga tambang limusin setiap kali mereka memerlukan perkhidmatan teksi?

"Sama juga dengan makcik-makcik yang mahu ke pasar. Sekarang, kaedah pengangkutan awam masih lagi agak kelam kabut, tidak dapat memberikan khidmat yang baik walaupun kerajaan telah berusaha untuk memperbaikinya," kata Fatimah.

TEKSI MEWAH

Menurut Markiman, LPKP sedang berbincang dengan tuan punya teksi bajet untuk menukar kenderaan mereka kepada limusin mewah 2,000 cc.

"Lebih senang cakap daripada buat," kata Liu Meng Fong, seorang pemandu dan tuan punya teksi bajet.

Liu berpendapat perubahan ini lebih senang bagi syarikat pengangkutan teksi yang mempunyai berpuluh-puluh kenderaan dan bukan bagi pemandu individu seperti beliau.

"Langkah ini, jika dilaksanakan akan melenyapkan mata pencarian pemandu teksi persendirian seperti kami. Apa lagi sekarang pun kami hanya cukup-cukup makan sahaja, sedangkan harga petrol mahal.

"Mereka mahu kami tingkatkan kenderaan, tapi sudah tentu maknanya kena beli limusin baru sebab jenis kenderaan kami sekarang ialah 1,300 cc.

"Mana nak cari wang nak beli kereta mewah yang besar?" kata beliau.

Liu menyifatkan langkah tersebut hanya akan menguntungkan syarikat-syarikat yang sudah beroperasi menggunakan limusin.

Seperti kata Fatimah: "Kalau untuk memperbaiki imej industri teksi, memang bagus. Tapi adakah kualiti perkhidmatan akan turut baik?"

"Penumpang tak perlu nak tengok DVD atau nak baca majalah niaga masa naik teksi. Ini hanya untuk ahli-ahli perniagaan, bukan untuk suri rumah atau anak-anak sekolah.

"Yang penting, mereka hanya mahu selamat sampai ke destinasi masing-masing dalam masa yang sepatutnya, itu saja," tambah Fatimah.

Oleh Zulkiple Ibrahim
-- BERNAMA