Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Harga berbeza-beza
Harian Metro : Harga berbeza-beza PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 16:12

 

KUALA LUMPUR: Kebanyakan peruncit sekitar Petaling Jaya, Selangor serta Pantai Dalam di sini masih menjual tepung gandum 'diperkaya vitamin' pada harga lama iaitu antara RM1.80 hingga RM2.30 sekilogram.

Tepung gandum berkenaan dijual pada harga lebih murah berbanding beberapa kedai runcit di ibu kota termasuk sekitar Pasar Chow Kit yang menjual tepung gandum jenis sama pada harga hingga RM2.80 sekilogram.

Namun, alasan yang diberikan peruncit yang menjual tepung gandum jenis diperkaya vitamin pada harga yang lebih rendah adalah mereka tidak tahu harganya sudah naik.

Tinjauan Harian Metro di kedai runcit sekitar kawasan itu termasuk Kampung Pantai Dalam di sini dan Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, semalam mendapati kebanyakannya masih menjual pada harga lama memandangkan tepung gandum berkenaan adalah dari stok lama yang dibeli pada harga lebih rendah daripada pembekal iaitu RM1.60 sekilogram.

Peruncit mendakwa mereka belum lagi memesan stok baru selepas Aidilfitri sedangkan harganya sudah meningkat sehingga 60 sen untuk setiap kilogram seperti yang dijual di Pasar Chow Kit.

Selain itu, rata-rata kedai runcit menjual tepung gandum peket jenis diperkaya vitamin berbanding biasa menyebabkan pengguna tidak mempunyai pilihan lain.

Pembantu kedai, Iskandar Tahir, 25, berkata dia tidak mengetahui harga tepung gandum diperkaya sudah dinaikkan pembekal kerana masih belum memesan stok baru, sebaliknya masih menjual stok lama yang diambil Ramadan lalu pada harga RM2 sepeket.

Iskandar berkata, dia mendapatkan tepung gandum itu daripada pembekal berhampiran pada harga RM1.90 sekilogram.

“Setiap kedai harganya berbeza tetapi di kawasan Taman Datuk Harun dan Pantai Dalam ini harganya masih murah kerana kami menjual stok lama yang diperoleh dengan harga lebih murah,” katanya.

Pembantu kedai, Mimin Sanapi, 48, berkata dia mendapatkan tepung gandum jenis diperkaya pada harga cuma RM1.60 sepeket bulan lalu dan menjualnya pada RM1.80 sekilogram.

“Walaupun mungkin harganya sudah naik tetapi kami masih jual pada harga lama kerana ia adalah stok lama.

“Lagipun, kami berurusan dengan pelanggan tetap iaitu penduduk sekitar menyebabkan kami saling mengenali. Takkanlah kami mahu 'menekan' mereka sedangkan mereka adalah sumber pendapatan kedai ini,” katanya.

Bagaimanapun, peruncit, Syusril Herman Yusof, 47, berkata dia sudah mula menjual tepung gandum berkenaan pada harga RM2.70 sekilogram memandangkan harganya sudah dinaikkan pembekal.

Katanya, beliau baru saja dimaklumkan harganya dinaikkan hingga ke RM2.50 oleh pembekal.