Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Harga melonjak tanpa sebab
Harian Metro : Harga melonjak tanpa sebab PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 16:47

 

KUALA TERENGGANU: Kenaikan mendadak harga tepung gandum terutama tepung gandum bervitamin di pasaran sejak seminggu lalu menimbulkan masalah bukan saja kepada pengguna, malah pengusaha dan penjual roti canai.

Menurut mereka, tindakan pemborong menaikkan harga bahan itu ketika isu kenaikan harga barangan lain masih memuncak sempena musim perayaan adalah sesuatu yang sukar diterima.

Seorang pengusaha roti canai segera, Rohani Azlina Ibrahim, 30, berkata kenaikan mendadak harga tepung gandum terutama tepung gandum bervitamin di pasaran begitu membebankan.

Menurutnya, beberapa minggu lalu, harga tepung gandum berkenaan baru dinaikkan daripada RM34.50 ke RM43.50 bagi satu paket seberat 25 kilogram, namun kini harganya mencecah hampir RM60.

Katanya, dia dimaklumkan pengedar mengenai kenaikan itu melalui panggilan telefon semalam dan begitu terkejut apabila harga dikenakan terlalu tinggi.

“Pengedar berkenaan hanya memaklumkan harga baru bagi paket 25 kilogram tepung gandum berkenaan tanpa memaklumkan punca sebenar yang mendorong kenaikan harga berkenaan.

“Jika masalah ini berterusan dan tidak diatasi segera akan menyukarkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) seperti saya meneruskan perniagaan.

“Keadaan itu kerana harga ditetapkan terlalu tinggi dan membebankan pengusaha industri seperti saya,” katanya.

Rohani berkata, dia juga ragu kerana walaupun harga yang tertera pada paket tepung gandum berkenaan masih mengekalkan harga lama, namun pengedar tetap mahu menjualnya pada harga baru.

“Saya tidak pasti punca kenaikan harga berkenaan tetapi berharap pihak bertanggungjawab dapat memantau perkara ini bagi mengelak terus berlarutan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau yang mewarisi perniagaan keluarganya sejak 20 tahun lalu berkata, selain kenaikan harga tepung gandum, harga minyak sapi juga semakin meningkat di pasaran.

“Jika masalah ini terus berlarutan pasti akan memberi kesan kepada pengusaha dan pengguna,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu ketika dihubungi semalam memaklumkan pihaknya hanya mengawal tepung gandum tanpa vitamin manakala tepung gandum bervitamin memang tidak disenaraikan sebagai barang kawalan.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, pihaknya akan memantau keadaan itu dalam usaha menangani masalah berkenaan.