Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Peniaga jadi sasaran
Harian Metro : Peniaga jadi sasaran PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:25

 

JOHOR BAHRU: Kenaikan harga tepung gandum diperkaya vitamin hingga mencecah RM2.70 sekilogram sejak seminggu lalu bukan saja menggusarkan pembeli malah turut menyukarkan peniaga kerana menjadi sasaran kemarahan pengguna.

Tinjauan ke beberapa kedai runcit termasuk di Pasar Awam Larkin di sini, mendapati rata-rata peniaga turut merungut kerana mereka menjadi sasaran kemarahan pengguna yang mendakwa sengaja menaikkan harga tepung gandum yang tidak disenarai sebagai barang kawalan itu.

Peruncit yang hanya ingin dikenali sebagai Palani berkata, dia menjual tepung gandum diperkaya vitamin dengan harga baru iaitu RM2.70 bagi pek sekilogram sejak seminggu lalu apabila mendapat bekalan daripada pembekal dengan harga yang lebih tinggi.

“Sejak seminggu lalu, harga daripada pembekal ialah RM2.50 bagi satu pek sekilogram, jadi tidak masuk akal jika peniaga masih menjual pada harga lama iaitu RM2.10,” katanya.

Menurutnya, peniaga juga tidak mempunyai pilihan kerana pembekal mengenakan harga yang lebih tinggi berbanding sebelumnya tanpa mengemukakan alasan yang menyebabkan harga tepung gandum diperkaya vitamin naik.

“Memang ada pembeli yang bising-bising apabila terpaksa membayar harga lebih tinggi tetapi apa kami boleh buat kerana sebagai peniaga, kami juga memerlukan sedikit keuntungan,” katanya.

Seorang lagi peruncit, Faisal Mohamad berkata, dia belum menjual tepung gandum diperkaya vitamin dengan harga baru kerana belum mendapat bekalan bahan itu daripada pembekal.

“Bagaimanapun saya tahu harga tepung gandum ini naik 60 sen berbanding harga sebelum ini dan ia berlaku sejak seminggu lalu.

“Setakat ini saya tidak tahu punca kenaikan harga tepung itu tetapi saya mendapat tahu kenaikan harga ini berlaku di seluruh negara. Mungkin bila mendapat bekalan kelak, saya juga terpaksa menjual pada harga baru seperti dijual di kedai runcit lain,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan, kenaikan harga tepung gandum diperkaya vitamin didakwa berpunca daripada perbuatan sebahagian pembekal disyaki menggunakan taktik licik untuk menipu pengguna dengan mengambil kesempatan mengeluarkan lebih banyak tepung gandum yang mempunyai label ‘diperkaya vitamin’ bagi mengaut untung berlebihan.

Ini kerana label terbabit dapat mengelak harga barangan keperluan itu daripada berada di bawah kawalan kerajaan serta membolehkan pembekal menaikkan harganya tanpa merujuk pihak berkuasa terlebih dulu.

Keadaan itu memberi peluang kepada pembekal untuk terus menaikkan harga tepung gandum diperkaya vitamin hingga kini mencecah RM2.70 sekilogram sejak seminggu lalu berbanding tepung gandum jenis biasa yang dijual pada harga runcit RM1.50 sekilogram.

Tinjauan ke beberapa pasar raya di sekitar Johor Bahru mendapati harga tepung gandum diperkaya vitamin turut dijual dengan harga baru iaitu naik sebanyak 60 sen berbanding sebelumnya.