Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Lindungi hak pengguna
Harian Metro : Lindungi hak pengguna PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:31

 

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya peniaga yang melanggar Akta Perihal Dagangan disenarai hitam dan lesen perniagaannya dibatalkan.

Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, langkah itu selaras dengan usaha untuk menangani pelbagai isu harga dan bekalan barangan terutama pada musim perayaan bagi melindungi hak pengguna

Menurutnya, langkah bekerjasama dengan PBT itu juga boleh menghindarkan peniaga daripada mengulangi kesalahan sama seolah-olah kompaun dikenakan tidak memberi kesan.

"Dalam hal ini, kami akan meminta PBT bersama-sama menangani masalah peniaga yang menindas pengguna dengan meletakkan harga tinggi selain menyorok bekalan dengan harapan harga boleh dinaikkan.

"Peniaga terbabit akan disenaraihitamkan selain menarik balik lesen perniagaan sebagai hukuman terhadap perbuatan mereka menindas pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan harga dan bekalan barangan di Pasar Besar, di sini, semalam.

Menurutnya, sepanjang operasi sempena Ramadan bermula 12 September lalu, pihaknya mengesan pelbagai kesalahan peniaga seperti menjual barangan tiruan, tidak meletak tanda harga di bazar dan ekspo Ramadan.

Selain itu, katanya, pihaknya merampas barangan bernilai lebih RM38,000 dan kompaun RM14,050 kepada peniaga terbabit.

"Sebanyak 36 kes pula direkod kerana melanggar skim kawalan harga dengan nilai kompaun sebanyak RM2,100 dan jumlah rampasan RM2,635.

"KPDNHEP akan memantau premis perniagaan sepanjang masa bagi mengelak peniaga menaikkan harga barang pada saat akhir kerana menyangka kakitangan kami bercuti raya," katanya.