Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Suruhanjaya Harga perlu segera dilaksana
Berita Harian : Suruhanjaya Harga perlu segera dilaksana PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:34

 

Surat

SETIAP kali harga barang naik, semua pihak akan tertekan dan mula menimbulkan pelbagai reaksi mengikut skop peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi menangani masalah itu.

Pengguna mula berjimat cermat atau memboikot barang tertentu, manakala kementerian atau agensi kerajaan mencari punca dan kesalahan peniaga yang cuba mengambil kesempatan mengaut untung besar

Cadangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar segera diwujudkan Suruhanjaya Harga di negara ini bagi menangani isu kenaikan harga barang amat dialu-alukan.

Harga biasanya dimanipulasi oleh jaringan peniaga yang tamak dan cuba mengambil kesempatan, terutama menjelang musim perayaan atau kakitangan awam menerima bonus atau kenaikan gaji.

Perbuatan mereka patut dikekang daripada berulang setiap tahun.

Diharapkan dengan wujudnya suruhanjaya itu, kerajaan akan diperuntukkan lebih ruang dan kuasa bagi menangani isu peniaga tamak di samping menyeimbangkan ‘bekalan dan keperluan’ pada harga munasabah kepada pengguna sepanjang masa dan tidak dipengaruhi oleh musim-musim tertentu.

Namun, apa yang membimbangkan, setiap kali usaha digerakkan oleh kerajaan melalui penubuhan pelbagai agensi atau suruhanjaya bagi menangani isu harga, sering kali punca kegagalan membabitkan penguatkuasaan.

Kekurangan kakitangan dan jentera, keterbatasan akses kepada jaringan produk dan kelemahan peruntukkan undang-undang, biasanya dijadikan alasan kepada kegagalan usaha itu.

Beberapa tahun kebelakangan ini, isu kenaikan harga dikenal pasti paling banyak berlaku peringkat pembekal dan orang tengah yang peranan mereka terlalu kompleks, rumit dan sukar diramal atau dikawal.

Kebiasaannya, apabila tuntutan kenaikan harga tidak dapat dipenuhi, mereka akan mengurangkan bekalan dalam pasaran dan taktik ini sudah rutin yang akhirnya hanya menyusahkan pengguna dan pihak kerajaan secara berterusan.

Saya berpendapat, selain usaha menguatkuasakan peraturan melalui suruhanjaya atau jawatankuasa tertentu dalam menangani isu kenaikan harga barang, kerajaan juga harus mampu berperanan dan berkemampuan memintas fungsi serta peranan pembekal atau orang tengah dalam apa juga keadaan, terutamapada perubahan struktur harga dalam rantaian yang mereka susun atur secara licik sepanjang tahun.

Saya yakin kerajaan boleh mengambil peranan orang tengah ini, jika agensi yang ditubuhkan di beberapa kementerian berfungsi dan melaksanakan tugas dan amanah dengan jujur.

Contohnya, Fama dan LKIM harus berkemampuan mengetepikan fungsi orang tengah atau peraih dan berupaya membekal produk terus kepada peniaga pada harga munasabah dan terkawal.

Selain berfungsi sebagai orang tengah, agensi kerajaan ini juga boleh berfungsi sebagai pengimport barang yang kebiasaannya dimonopoli beberapa syarikat tertentu atau agensi penswastaan yang diberikan permit khusus oleh kerajaan.

Ini boleh mengatasi menyalahgunakan keistimewaan mengimport dengan meletakkan kadar harga sesuka hati, membuat keuntungan tinggi tanpa mengambil kira beban ditanggung oleh pengguna.

Apa pun, diharapkan Suruhanjaya Harga yang dicadangkan mampu memahami fungsi dan tanggungjawabnya sesuai dengan memastikan barangan kawalan mengikut harga ditetapkan melalui Akta Kawalan Harga 1946, manakala barang bukan kawalan dapat dipastikan harganya tidak berubah sesuka hati mengikut musim.

Suruhanjaya ini harus mempunyai jentera penggerak yang mampu berdepan dengan semua kemungkinan pada saat kritikal dengan berupaya memintas peranan pembekal dan orang tengah secara ‘adhoc’ memastikan bekalan pulih di pasaran pada harga yang munasabah.

Pendekatan ini mampu dilaksanakan dan diurus dengan baik oleh kementerian terbabit melalui pelbagai sumber dan dana besar yang diperuntukkan dalam belanjawan demi menjaga kepentingan rakyat.

Akhirnya, kerajaan tidak boleh terlalu mengharapkan sistem jaringan peniaga mampu menuruti dan akur dengan semua peraturan kerana masing-masing hanya menjaga kepentingan pemegang saham mereka dan matlamat perniagaan adalah untung sebanyak mungkin saban tahun.

SAMSUDIN ISMAIL,
Taman Pulai Utama, Skudai, Johor.