Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Kerajaan perlu wujud Suruhanjaya Harga
Utusan Malaysia : Kerajaan perlu wujud Suruhanjaya Harga PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:35

4 Oktober 2007 

Kerajaan perlu mengkaji kesesuaian mewujudkan sebuah Suruhanjaya Harga di negara ini bagi memantau harga semua jenis barangan dan mengelak pihak tertentu memanipulasi harga khususnya menjelang musim perayaan.

Ini kerana Suruhanjaya Harga, seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara, mempunyai kuasa penuh untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengusulkan cadangan itu berkata, sudah sampai masanya kerajaan meneliti cadangan itu dengan serius.

“Saya fikir mungkin sudah tiba masanya kerajaan perlu meneliti tindakan lain selain daripada penguatkuasaan yang dibuat oleh kementerian saya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tentang soal harga yang biasa timbul.

“Di sesetengah negara seperti Korea, ada ditubuhkan Suruhanjaya Harga yang meletakkan kuasa kepada badan itu untuk mengambil tindakan terhadap pembekal atau pengeluar yang memanipulasi keadaan untuk menaikkan harga barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan dividen hari raya kepada 290 peserta Felcra Kundang Ulu, dekat sini semalam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Harga itu agak besar sehingga boleh memanggil Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengerusi sesebuah syarikat untuk memberi penjelasan tentang kenaikan harga barangan keluaran syarikat itu.

Menurut beliau, walaupun terdapat Akta Kawalan Harga 1946 di negara ini dan dilihat amat berkesan dalam memantau harga barangan, namun ia memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan yang cekap bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

“Walaupun Akta Kawalan Harga memberi kuasa kepada kerajaan tetapi masih terdapat barangan yang di luar bidang kuasa kerajaan dan tentu sukar untuk kawal semua barangan kerana terdapat beribu-ribu jenis barang dalam negara ini untuk dikawal.

“Suruhanjaya Harga pula mampu memantau bukan sahaja semua harga barangan terkawal, malah semua barangan lain termasuk harga simen dan besi,” jelas beliau.

Menurut Muhyiddin lagi, walaupun penubuhan suruhanjaya itu tidak popular di sesetengah negara tetapi ia dapat mengelak sesetengah pihak terutamanya orang tengah daripada memanipulasi harga.