Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Lepas ayam, harga kelapa pula naik, mahal 7-15 sen sebiji
Utusan Malaysia : Lepas ayam, harga kelapa pula naik, mahal 7-15 sen sebiji PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:40

2 Oktober 2007 

KUALA LUMPUR  - Baru-baru ini pengguna dikejutkan dengan harga ayam naik dengan mendadak, kini harga kelapa pula dinaikkan dengan tiba-tiba dari tujuh sen hingga 15 sen sebiji atas alasan pembekal menaikkan harga.

Tinjauan di Pasar Chow Kit hari ini mendapati beberapa peniaga kelapa di situ telah menaikkan harga kelapa parut dari RM3 sekilogram, harga siling yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kepada RM3.50 sekilogram

Peniaga Mazlan Hanifiah, 35, berkata, pembekal kelapa mula menaikkan harga kelapa dari 60 sen sebiji kepada 75 sen sebiji, dan harga itu berkemungkinan dinaikkan lagi.

Walaupun masih menjual kelapa parut biasa pada RM3 sekilogram, beliau menjangka terpaksa menaikkan harga santan kepada RM4 sekilogram dan harga kelapa parut putih kepada RM3.50 sekilogram.

“Harga kelapa yang dinaikkan oleh pembekal menyebabkan kami terpaksa menaikkan harga,” katanya di sini hari ini.

Bagi Wasri Satwi, 36, yang berniaga santan dan kelapa di pasar itu sejak 15 tahun lepas berkata, walaupun masih belum menaikkan harga barangannya, beliau yakin terpaksa menaikkan harga santan kepada RM3.80 sekilogram menjelang raya nanti berikutan kekurangan bekalan.

“(Ini kerana) bekalan pun mungkin tak cukup, sekarang pun saya cuma dapat 1,500 biji sedangkan saya tempah 3,000 biji,” katanya, yang memperolehi bekalan kelapa dari Bagan Datoh, Perak.

Dilema yang sama turut dikongsi oleh Siti Zubaidah Rajab, 30, yang menyifatkan masalah itu berpunca daripada pembekal atau orang tengah yang ingin mengaut keuntungan lebih.

“Saya mungkin dapat harga yang lebih murah sebab saya mengangkut kelapa dengan lori saya sendiri, tapi harganya tetap naik dari 55 sen kepada 62 sen sebiji,” katanya.

Mengenai bekalan untuk hari raya, Siti Zubaidah berkata, bekalan agak kurang sekarang, tapi beliau telah bersiap sedia dengan meletakkan wang cagaran kepada pembekal bagi memastikan bekalan kelapa yang cukup diperoleh untuk hari raya nanti. - Bernama