Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Beg berat jejas belakang pelajar secara kekal - CAP
Utusan Malaysia : Beg berat jejas belakang pelajar secara kekal - CAP PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:41

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merujuk kepada surat pembaca yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini yang mengemukakan masalah kanak-kanak sekolah membawa beg berat ke sekolah setiap hari.

Dalam surat itu, penulis mendedahkan anaknya dan pelajar sekolah lain yang terpaksa membawa beg sekolah yang berat sehingga mereka terpaksa membongkok ke depan. Masalah ini menjadi bertambah buruk apabila kanak-kanak ini terpaksa menggunakan pengangkutan awam, dan jika kelas mereka terletak di tingkat bangunan yang lebih tinggi.

CAP telah menggesa pihak berkuasa pendidikan sejak beberapa tahun yang lalu supaya menangani masalah beg sekolah yang berat.

Hasil kajian tempatan bertajuk Beban Beg Sekolah dan Kesannya ke atas Otot Erector Spinae dan Sakit Belakang Dalam Kalangan Kanak-Kanak Sekolah Rendah di Malaysia, (diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences Vol. 1 (1) Januari 2005) mendedahkan masalah itu dengan jelas sekali. Kajian ini dan hasil daripada kajian lain di luar negara seharusnya menjadi pengajaran untuk mengambil tindakan dengan segera.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Tamrin SBM dan rakan dari Universiti Putra Malaysia mendapati 58.3 peratus kanak-kanak sekolah yang dikaji melaporkan mengadu sakit belakang yang dikaitkan dengan membawa beg sekolah berat.

Penyelidik menyatakan insiden sakit belakang yang tinggi dikaitkan dengan beban yang berat boleh dikaitkan dengan fakta bahawa kebanyakan kanak-kanak sekolah yang dikaji membawa beg sekolah dengan berat 15 peratus daripada berat tubuh mereka sendiri. Ini merupakan had yang melebihi saranan oleh ramai pengamal perubatan.

Dalam perkataan lain, contohnya, kanak-kanak yang beratnya 25 kg (55 paun) tidak seharusnya membawa berat lebih daripada 3.75 kg (8.25 paun).

Kajian itu juga menunjukkan kanak-kanak perempuan lebih kurang efisien dalam membawa beban di belakang mereka. Begitu juga kanak-kanak sekolah yang begitu muda kemampuannya untuk membawa beban didapati kurang efisien, dalam bentuk tenaga yang digunakan, berbanding kanak-kanak yang lebih tua yang cenderung untuk menggunakan otot mereka dengan lebih efisien untuk membawa beban di belakang mereka.

Penemuan ini adalah selaras dengan hasil pandangan penulis yang lain yang menyatakan bahawa kanak-kanak yang lebih muda mempunyai masalah untuk membawa beg sekolah yang berat.

Pada keseluruhannya, rumusannya ialah terdapat insiden sakit belakang dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan ini memerlukan penilaian semula sama ada kanak-kanak sekolah perlu membawa sebarang bebanan seperti beg sekolah yang berat memandangkan mereka berdepan risiko sakit belakang pada masa depan.

Pada umumnya, beban yang berlebihan dan tidak sama dikaitkan dengan meningkatnya risiko masalah belakang dan kecacatan tulang belakang. Dibebani oleh berat yang berlebihan ini mungkin menyebabkan bahaya dan mungkin memberikan kesan sampingan terhadap perkembangan sistem musculo-skeletal.

Memandangkan tahun persekolahan semakin berakhir dan kanak-kanak sedang bersedia untuk menghadapi tahun baru, CAP menggesa Kementerian Pelajaran supaya meneliti segera masalah beg sekolah yang berat ini. Kesan sampingan kesihatannya berpotensi untuk menjadi serius – bukan sahaja kesan segera ke atas kanak-kanak tetapi mereka mungkin juga menjadi orang dewasa yang berdepan dengan masalah sakit belakang yang kronik.

– S. M. MOHAMED IDRIS,
Presiden Persatuan Pengguna,
Pulau Pinang.