Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Pelabur, penganjur skim cepat kaya elok sama-sama 'kena'
Utusan Malaysia : Pelabur, penganjur skim cepat kaya elok sama-sama 'kena' PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:44

 

ARAHAN mahkamah kepada seorang defendan dalam skim pelaburan Internet SwissCash supaya memindahkan semula wang RM35juta dalam akaunnya di luar negara ke Malaysia membuktikan bahawa individu seperti ini tidak akan terlepas begitu sahaja.

Ia juga mendedahkan kepada kita begitu banyak keuntungan yang mereka kaut selama ini hasil daripada memanipulasi nafsu ingin cepat kaya kebanyakan rakyat negara ini.

Jumlah keuntungan itu hanya bagi seorang sahaja. Bayangkan berapa pula keuntungan yang diperoleh rakan-rakan sekutunya yang lain.

Dan apa pula keuntungan yang diperoleh orang ramai yang menyertai skim tersebut. Memang ada yang sempat mengecap keuntungan, tetapi bilangannya hanya berapa kerat sahaja.

Ramai lagi yang melopong, malah ada yang sampai ke peringkat ‘wang habis barang kemas tergadai’. Ada juga yang separuh sasau kerana kehilangan wang simpanan.

Apabila berlaku kes seperti SwissCash ini, yang dikatakan menerima deposit antara RM380 juta dan RM3.8 bilion, para pelabur yang teraniaya, sedangkan pihak penganjur berjaya membawa keuntungan untuk disimpan di luar negara.

Kelmarin, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataannya memberitahu, wang yang dibawa balik itu akan dibekukan melalui perintah Mareva, tertakluk kepada prosiding sivil yang difailkan oleh suruhanjaya itu.

Awal tahun ini, SC memfailkan prosiding sivil terhadap Amir Hassan, Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe, Dynamic Revolution Sdn. Bhd., Swiss Mutual Fund (1948) S.A., SMF International Ltd. dan SMF (1948) International Ltd.

Jika selama ini, individu atau kumpulan yang menjalankan kegiatan seumpama itu boleh terlepas begitu sahaja kerana kekurangan bukti dan peruntukan undang-undang, kini dengan perkembangan terbaru ini, ‘padah’ menanti mereka.

Ketegasan SC menguatkuasakan tindakan sivilnya memberi keyakinan bahawa tidak ada lagi mereka yang berani memanipulasi kelemahan pengetahuan orang ramai terhadap skim pelaburan.

Walaupun wang yang diarah dipindahkan semula ke negara ini dibekukan dan pelabur tidak mendapat wang mereka semula, sekurang-kurangnya berlaku situasi ‘sama-sama kena’.

Pelabur terkena kerana kejahilan mereka dalam pelaburan Internet, manakala penganjur pula bertemu buku dengan ruas ekoran ketegasan SC dalam soal pelaburan tidak berlesen.

Ringkasnya, luka di hati pelabur terubat juga apabila pihak penganjur tidak terlepas daripada tindakan tegas SC.

Kejayaan SC dalam kes ini memberi harapan baru kepada penyelesaian kes-kes lain yang sedang menunggu untuk diselesaikan.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, terdapat sekurang-kurangnya 28 laman web pelaburan cepat kaya tempatan yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan SC.

Kesemua laman web itu difahamkan berada dalam senarai amaran SC.

Kita berharap SC akan menjalankan tindakan yang lebih agresif pada masa akan datang dan mengheret lebih banyak lagi penganjur skim cepat kaya ini ke muka pengadilan.

Tindakan tegas suruhanjaya ini tentunya boleh mengelakkan lebih ramai lagi yang akan menjadi mangsa manipulasi penganjur-penganjur skim cepat kaya.

Orang ramai tidak boleh dibiarkan terus hanyut dengan godaan skim cepat kaya tanpa kawalan atau perlindungan daripada pihak berkuasa.

Hanya dengan undang-undang serta mekanisme kewangan negara yang mantap dan berkesan sahaja, aktiviti skim cepat kaya yang telah menarik ratusan ribu peserta ini dapat dibendung.

 

 

 

Last Updated on Wednesday, 18 March 2015 14:35