Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Kaji semula tambang bas 6.5 sen sekilometer
Utusan Malaysia : Kaji semula tambang bas 6.5 sen sekilometer PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:45

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Kadar tambang bas ekspres kini sebanyak 6.5 sen bagi setiap kilometer perlu dikaji semula untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan kebajikan pemandu.

Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, kadar tambang yang rendah itu tidak dapat menampung kos operasi bas ekspres yang semakin meningkat.

Ia juga, katanya, menyebabkan kebanyakan syarikat bas terpaksa memberi gaji pokok yang rendah kepada pemandu mereka.

Katanya, berbanding pada tahun lalu, harga peralatan seperti tayar naik 15 peratus sementara alat-alat ganti bas pula meningkat sebanyak 30 peratus.

“Harga diesel telah naik tiga kali sejak Jan 2005. Ketika itu diesel berharga 65 sen seliter. Sekarang, harganya RM1.58 seliter di stesen-stesen minyak.

“Apabila kadar tambang rendah sebegitu, macam mana hendak membayar gaji yang lebih tinggi kepada pegawai dan pemandu dan membeli bas yang spesifikasi mengikut standard antarabangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Tengku Hasmadi, pihaknya membayar gaji pokok tetap kepada pemandu bas mengikut pengalaman kerja dan lokasi bekerja.

Katanya, sebagai contoh, pemandu bas di Kuala Lumpur memperoleh gaji tetap sebanyak RM680 sebulan sementara di Kelantan lebih kurang RM450 sebulan.

“Mereka juga mendapat elaun keselamatan sebanyak RM175 sebulan jika tidak mendapat saman ataupun aduan penumpang tentang cara pemanduan bas.

“Ini belum ditambah lagi elaun perjalanan, jaga bas dan dobi. Asrama turut disediakan kepada penumpang bas,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, pemandu bas laluan dari Kuala Lumpur (KL) hingga Ipoh sejauh 205 kilometer dibayar RM10 satu perjalanan.

Tambahnya, seorang pemandu bagi laluan itu perlu membawa bas sebanyak tiga perjalanan sehari.

Bagi laluan KL hingga Johor Bahru atau Singapura, jelasnya, setiap pemandu mempunyai satu perjalanan setiap hari.

“Pemandu untuk laluan KL hingga Seremban yang memakan masa satu jam 15 minit satu perjalanan boleh membuat enam perjalanan sehari. Selepas itu, pemandu lain akan memandu bas itu untuk enam perjalanan berikutnya,” katanya.

Beliau memberitahu, secara puratanya, gaji pemandu bas syarikatnya boleh mencecah RM2,500 hingga RM2,800 sebulan selepas dicampur elaun perjalanan atau trip.

Mengenai bas yang mempunyai spesifikasi mengikut piawaian antarabangsa, Pengarah Eksekutif KTB berkata, syarikatnya menggunakan bas sedemikian sejak 2003 lagi.

Beliau berkata, bas yang mengikut Australia Design Rule (ADR) itu adalah lebih mahal RM30,000 berbanding ‘bas potong’.

“Bas yang mematuhi ADR ialah bas yang berstruktur ‘single roof hoop.’ Ini bermakna tiada kimpalan pada bumbung dan bahagian bas yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bukan semua bas mematuhi ADR kerana berdasarkan pendapatan yang semakin sedikit, syarikat sukar mencapai pulang modal.

“Maka terdapat pengusaha bas yang menggerakkan bas selagi terdaya, tayar tidak botak dan penyelenggaraan masih memuaskan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menambah, sewa laluan bas di Puduraya turut bertambah berbanding tahun lalu.

Katanya, pihak pengurusan Puduraya mengenakan tol masuk RM14 untuk bas syarikatnya.

Bagaimanapun, katanya, kadar itu bergantung kepada bilangan bas syarikat itu dan semakin banyak bas yang menggunakan perhentian itu, semakin rendah kadarnya.

“Tol juga dijangka naik pada tahun depan,” katanya.