Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Bekalan ayam dijamin cukup
Harian Metro : Bekalan ayam dijamin cukup PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:56

 

MELAKA: Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan ayam untuk keperluan sepanjang bulan puasa dan menjelang Aidilfitri di negeri ini mencukupi.

Ini berikutan unjuran keperluan sehingga hujung bulan ini ialah sebanyak 423,500 ekor, manakala untuk Aidilftri dianggarkan sebanyak 1.3 juta hingga 1.7 juta ekor.

Exco Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ab Karim Sulaiman, berkata jumlah ini dijangka semakin meningkat apabila pembekal yang bersempadanan dengan negeri ini seperti Muar, Johor dan Negeri Sembilan turut membekalkan ayam kepada peruncit berdekatan dengan mereka.

Beliau berkata, terdapat enam pembekal ayam di negeri ini yang akan memastikan pengeluaran bekalan ayam adalah mencukupi iaitu Chop Chong Bee Sdn Bhd, Sinmah Livestok Sdn Bhd, Pertanian Pertiwi Sdn Bhd, Heap Lee Brother Contract Farming Sdn Bhd, Ban Leong Poultry Sdn Bhd dan Huat Lai Contract Farming Sdn Bhd.

Bercakap kepada sidang media selepas mengetuai lawatan meninjau harga 17 barangan kawalan di Pasar raya Bintang di Cheng, dekat sini, beliau berkata pembekal utama menguasai pasaran sebanyak 70 peratus pengedaran dan pembekalan ayam bagi negeri ini dan selebihnya 30 peratus dibekalkan penternak persendirian.

Turut hadir dalam operasi berkenaan adalah Timbalannya, Datuk Abu Pit dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) cawangan Melaka, Mior Najmuddin Mior Dzulkifli.

Menurutnya, dari segi kawalan harga, kebanyakan penternak mematuhi penetapan harga ayam hidup sekitar RM4 sekilogram pada peringkat ladang walaupun ada yang mengeluh memperoleh sedikit keuntungan berikutan peningkatan kos makanan dan ubat.

Katanya, bahagian penguatkuasaan PPDNHEP negeri sering membuat pemantauan sekiranya ada perubahan harga siling berkenaan.

Mengenai bekalan minyak masak paket satu kilogram dan tepung gandum, beliau berkata, setakat ini, negeri ini tidak menghadapi sebarang masalah kerana rata-rata pasar raya, pasar mini serta kedai runcit masih mempunyai bekalan.

"Harga juga tidak berubah, sebagai contoh tepung gandum satu kilogram dijual pada harga RM1.80," katanya.

Dalam pemeriksaan itu, Abdul Karim berpuas hati apabila mendapati kebanyakan barangan kawalan yang dijual pada harga potongan hampir 50 peratus daripada harga siling.

Sebagai contoh, cili merah berharga RM8 sekilogram dijual pada harga RM2.99, ayam (RM6 dijual pada harga RM5.59 sekilogram), kobis (RM2.50 dijual pada harga 90 sen sekilogram), daging lembu tempatan (RM17 dijual dengan harga RM15.90) dan telur ayam gred C (RM7.80 untuk 30 biji dijual RM5.99).

Ab Karim berharap harga berkenaan akan dikekalkan bagi membolehkan orang ramai membeli barangan dengan harga murah.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Pasaraya Bintang, Ho Eng Wah, berkata pihaknya menetapkan harga 20 barangan kawalan dijual dengan harga murah.