Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Bukan mudah memboikot barang makanan
Utusan Malaysia : Bukan mudah memboikot barang makanan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 09:56

26 Sept 2007 

Pendapat
BUKAN mudah untuk kita memboikot barang-barang terutamanya barangan makanan. Itulah antara gambaran awal yang dapat kita buat terutama menjelang musim perayaan.

Hal ini juga dikuatkan lagi dengan kata-kata seorang peniaga yang ditemu ramah di televisyen yang antara lain menjelaskan bahawa peniaga-peniaga menganggap saranan tersebut tidak mendatangkan sebarang kesan kepada mereka.

Ini menunjukkan bahawa sebarang usaha memboikot barang-barang keperluan harian menjelang perayaan penting di negara ini tidak akan membawa sebarang perubahan kerana kuasa beli berada di tangan pengguna.

Barangkali pengguna dapat merasakan bahawa jika tindakan memboikot barang-barang keperluan dilakukan, perayaan akan menjadi hambar.

Malah yang pentingnya ialah apa yang hendak dimakan sekiranya barang-barang makanan seperti ayam yang naik harga itu tidak dibeli, sedangkan anak-anak hendak menjadikannya sebagai juadah untuk berbuka puasa dan santapan untuk semua peringkat pada Hari Raya nanti.

Justeru saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar pengguna memboikot barang-barang yang meningkat harganya secara melampau, ia mengundang dengan pelbagai reaksi.

Dalam pada itu, apabila pengguna disaran supaya tidak ke pasar selama dua hari seminggu, timbul pula persoalan apa yang hendak dimakan dan apa pula peniaga-peniaga hendak makan?

Atau dalam keadaan lain, kita juga boleh membayangkan bahawa tindakan itu boleh dilakukan hanya jika pengguna ke pasar dengan membeli untuk keperluan beberapa hari. Yang dijimatkan oleh pengguna ialah petrol, bukannya harga bahan makanan yang dibeli.

Saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal supaya pengguna mesti membeli barangan yang berkualiti, membuat perbandingan harga, memilih perkhidmatan terbaik dan membuat pilihan tepat semasa membeli dilihat sebagai satu kaedah yang sentiasa dilaung-laungkan kepada pengguna.

Pengguna sebenarnya sudah bijak berbelanja tetapi kerenah pemborong, pembekal dan peniaga sering mengabui mata pengguna. Sebagai contohnya, untuk membuat perbandingan harga bukannya satu jalan yang mudah.

Ia sebenarnya memerlukan masa dan modal. Bayangkan, jika kita hendak membeli minyak masak dan sabun umpamanya, untuk mendapat harga yang lebih murah mungkin sebanyak seringgit untuk kedua-dua bahan ini, pergerakan dari satu premis perniagaan ke premis yang lain memerlukan kos perjalanan.

Pengguna juga sudah lama diasuh dengan taktik peniaga yang bijak menyusun strategi perniagaan mereka. Contohnya, jika premis A menjual beberapa jenis barangan dengan harga yang lebih murah berbanding premis B, premis B pula menjual beberapa jenis barang lain yang lebih murah jika dibandingkan dengan harga di premis A.

Dalam soal ini, pengguna terpaksa bergerak di beberapa buah premis untuk mendapatkan harga yang murah. Pergerakan itu tentunya turut dirasakan bebanannya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, kerana pergerakan tersebut memerlukan kos dan masa, termasuk minyak petrol dan bayaran letak kereta.

Kesimpulannya, pengguna sebenarnya sukar mengekang masalah kenaikan harga, cuma yang boleh mereka lakukan ialah mengurangkan kadar pembelian dan menjadikan sambutan perayaan yang jauh lebih sederhana daripada tahun-tahun lepas.

Di samping itu, pengguna sepatutnya dapat mengurangkan tabiat makan di luar rumah kerana jika mereka memasak dan menyediakan sendiri makanan untuk diri sendiri dan keluarga, belanjanya jauh lebih murah.

Pengorbanan masa dan tenaga amat penting untuk memperlihatkan bahawa kita sebenarnya berhemah dalam soal berbelanja.

– M. JASNI MAJED,

Bukit Kapar, Selangor.