Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Sasaran kempen boikot mesti beri impak
Utusan Malaysia : Sasaran kempen boikot mesti beri impak PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:10

 

Rencana

BANYAK pihak menyambut baik Kempen Boikot Kenaikan Harga Barang Keperluan yang dilancarkan oleh MTUC dan CUEPACS untuk sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini selama dua hari dalam seminggu.

Apa yang penting ialah kempen itu harus berkesan dan memberi impak, jika tidak ia akan menjadi bahan ketawa dan dipersenda oleh peniaga.

Kempen itu seharusnya mendapatkan sokongan padu bukan sahaja daripada seluruh rakyat, tetapi juga daripada kerajaan sendiri.

Kita sudah muak dengan gelagat peniaga, pemborong, pembekal dan pengilang yang menaikkan harga barangan dengan memberi pelbagai alasan.

Sesetengah peniaga pula menggunakan pelbagai promosi seperti promosi semasa musim perayaan untuk memperdayakan pengguna bagi menjual barang pada harga yang tinggi.

Jika kerajaan dapat bekerjasama dengan MTUC, CUEPACS dan persatuan pengguna, mereka mungkin dapat mengatur strategi yang berkesan bagi membendung kenaikan harga barang keperluan dan sekali gus mengajar peniaga yang degil dan tegar ini.

Ini kerana sebarang kempen itu, tidak akan mencapai kejayaan, jika ia tidak mendapat sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat dan tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Jika kempen ini dapat disusun dengan kemas, dijalankan secara massa dan berterusan serta mempunyai strategi yang betul, pasti ia akan memberi impak yang berkesan dan mencapai matlamat untuk membendung kenaikan harga barang keperluan.

Tidak ada maknanya kakitangan awam menerima kenaikan gaji jika kos sara hidup terus meningkat, dan dalam hal ini pekerja swasta dan penduduk kampung paling malang, kerana menanggung kesan yang lebih berat.

Dan jangan lupa kenaikan gaji juga bermakna cukai pendapatan turut akan meningkat. Jadi apa makna kerajaan memberi kenaikan gaji jika ia lebih banyak menguntungkan peniaga.

Di sinilah, kita berharap semua pihak akan menyokong kempen murni ini bagi mempertahankan hak pengguna.

Kita juga berharap kempen ini benar-benar menuju kepada golongan sasaran yang bertanggungjawab.

Misalnya, apakah benar para peniaga yang bertanggungjawab menaikkan harga barangan sehingga mereka patut dikenakan tindakan, atau ia tindakan tamak pemborong, pembekal atau pengilang?

Kita tidak mahu melalui kempen ini nanti akan ada golongan yang teraniaya dalam usaha kita membela nasib pengguna.

Jika tidak kempen ini akan menjadi sia-sia kerana pembekal dan pemborong atau pengilang akan tetap menaikkan harga barangan, kerana mereka tidak merasakan kesan daripada kempen tersebut.

Kita ingin melihat kesan kempen boikot selama dua hari dalam seminggu itu dapat mencapai matlamat sesuai dengan slogan ‘Pengguna Adalah Raja’.