Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007
PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:11

24 Sept 2007 

PUTRAJAYA 24 Sept. – Pengguna perlu menggunakan kuasa beli mereka secara bijak dengan memboikot para peniaga yang menaikkan harga barang keperluan sewenang-wenangnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, orang ramai bagaimanapun tidak boleh memboikot semua peniaga kerana ia secara langsung akan memberi kesan tidak baik kepada ekonomi negara.

‘‘Pengguna tidak boleh berhenti membeli kerana ia akan menjejaskan ekonomi negara tetapi kita perlu bijak memilih untuk membeli barangan keperluan harian

‘‘Jangan beli dengan peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan keperluan dan belilah di tempat lain kerana saya yakin kita ada banyak tempat lain yang jual pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam, lebih tiga juta ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memulakan kempen memboikot para peniaga yang menaikkan harga barang keperluan.

Melalui boikot itu, kedua-dua kesatuan sekerja itu mahu mengembalikan hak pengguna dalam menentukan harga barang serta menundukkan kuasa pembekal dan peniaga menjelang musim perayaan.

Ahli kedua-dua pertubuhan itu disarankan tidak ke pasar selama dua hari dalam seminggu bagi menyokong langkah tersebut.

Dalam hal ini, Shafie meminta para pengguna, MTUC dan CUEPACS menyalurkan maklumat berhubung tindakan peniaga menjual barangan keperluan melebihi paras yang ditetapkan.

Katanya, pengguna boleh membuat laporan kenaikan harga barangan kepada mana-mana pejabat kementerian itu, menghubungi talian 1-800-886-800 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32255.

Beliau berkata, bahagian penguatkuasaan kementerian sentiasa bertindak tegas ke atas peniaga atau peruncit yang melakukan kesalahan.

Pihaknya meletakkan empat hingga lima anggota penguat kuasa di pasar-pasar utama seluruh negara sepanjang musim perayaan ini.

‘‘Laporan Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2007 dari 13 September hingga semalam mendapati sebanyak 130,374 pemeriksaan dijalankan dan sejumlah 230 kes diambil tindakan.

‘‘Jumlah rampasan pula mencecah RM78,114.91 manakala kompaun sebanyak RM37,850,” katanya.