Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Peniaga tidak takut ancaman MTUC, CUEPACS
Utusan Malaysia : Peniaga tidak takut ancaman MTUC, CUEPACS PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:12

24 Sept 2007 

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Para peniaga tidak gentar dengan ancaman boikot lebih tiga juta ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang bermula semalam kerana mereka mempunyai pelanggan tetap di kalangan peniaga restoran dan kedai makan.

Malah, orang ramai yang ditemui di sini hari ini menyifatkan tindakan boikot tidak efektif kerana mereka tidak mempunyai pilihan menjelang musim perayaan ini.

Seorang peniaga ayam, Mohd. Sufian Mohd. Yusof, 22, berkata, tindakan itu tidak akan menjejaskan perniagaan kerana mereka mendapat permintaan daripada pelanggan tetap.

Katanya, pelanggan tetap yang merupakan tauke-tauke restoran dan kedai makan telah membuat tempahan awal untuk membeli secara pukal barangan mereka.

“Kita tidak risau langsung stok tidak akan habis sehingga menyebabkan barangan rosak. Kita hanya bimbang barangan tidak cukup memandangkan musim perayaan menjelang tiba,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang peniaga sayur-sayuran, Lee Kien Fui, 33, yakin para pengguna tidak akan terikut-ikut dengan tindakan boikot kedua-dua kesatuan sekerja itu.

“Mereka (pengguna) tahu berfikir dan tahu membuat pilihan sendiri, kalau pengguna nak boikot juga, kami tidak boleh menghalang tetapi saya rasa mereka tidak sanggup berbuat demikian,” katanya.

Menurut seorang peniaga buah-buahan, Puspavaly Prema, 42, perbuatan tersebut tidak sedikit pun menggusarkan mereka.

“Saya tidak berasa takut. Setiap hari mesti ada ramai orang membeli barang dari pasar kerana barangan di pasar basah adalah lebih murah berbanding pasar-pasar raya besar,” tegasnya.

Seorang peniaga di pasar basah yang sama, Cham Yat Meng, 52, menyokong kata-kata Puspavaly kerana kebanyakan harga barangan keperluan masih tidak berubah.

MTUC dan CUEPACS melancarkan kempen memboikot kenaikan harga barang bermula semalam bagi mengembalikan hak pengguna dan menundukkan kuasa pembekal serta peniaga dalam menentukan harga barang menjelang musim perayaan.

Melalui kempen itu, ahli kedua-dua pertubuhan itu disaran tidak ke pasar selama dua hari dalam seminggu bagi menyokong langkah tersebut.

Seorang pekerja swasta, Bokhri Abdul, 52, berkata, kempen boikot sebagai memprotes kenaikan harga barangan bukan satu penyelesaian yang berkesan.

“Keperluan pengguna tidak sama dengan peniaga, kami tidak mempunyai stok seperti mereka. Oleh itu, kita mesti beli barang sekurang-kurangnya lima kali dalam seminggu.

“Di ibu kota, siapa akan menternak ayam atau itik serta menanam sayur di belakang rumah? Lebih-lebih lagi kebanyakan warga kota tinggal di dalam pangsapuri atau kondominium. Mereka tidak mempunyai halaman yang besar untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Seorang suri rumah, Grace Maratha, 48, pula melahirkan rasa kecewa dengan sikap MTUC dan CUEPACS kerana tindakan boikot itu akan memburukkan lagi masalah berkenaan.

“MTUC dan CUEPACS bukan membantu menangani masalah yang dihadapi sekarang tetapi isu ini akan bertambah teruk jika ia berlanjutan.

“Mereka seharusnya duduk berbincang dengan semua pihak yang terlibat kerana niat untuk memberi impak kepada peniaga turut akan menjejaskan para pengguna pada jangka masa panjang,” ujarnya.

Sementara itu, menurut seorang pengguna, Seow Guat Theng, 56, keberkesanan kempen itu terpulang kepada nekad seseorang pengguna.

“Kalau hati pengguna tegas kempen ini memang berkesan tetapi kalau tidak, ancaman boikot nampaknya seperti ‘mencurah air di daun keladi’ walaupun akhbar telah uar-uarkan perkara tersebut secara terbuka,”