Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : KPDNHEP belum umum kenaikan harga tepung dan minyak
Harian Metro : KPDNHEP belum umum kenaikan harga tepung dan minyak PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:12

 

KUALA LUMPUR: Pengguna diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan mengatakan harga tepung gandum dan minyak masak naik, apatah lagi kementerian tidak mengumumkan kenaikan harga membabitkannya.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, berkata ketika ini tiada kenaikan harga dilaporkan bagi dua barang kawalan itu, malah bekalannya mencukupi bagi menampung keperluan pengguna.

Katanya, kenaikan harga tepung yang dilaporkan sebelum ini hanya membabitkan tepung gandum jenis diperkaya kerana tidak tersenarai di bawah barang kawalan kementerian dan hasil pemeriksaan ke premis pembekal mendapati tepung gandum biasa masih dijual mengikut kadar ditetapkan.

“Hanya tepung gandum jenis diperkaya yang tidak disenaraikan sebagai barang kawalan mengalami kenaikan, manakala tepung gandum pelbagai guna masih dijual pada harga siling kawalan iaitu RM1.35 sekilogram.

“Jadi, pengguna jangan keliru dengan kenaikan harga tepung yang dimaksudkan kerana ia tidak membabitkan barang kawalan,” katanya selepas pemeriksaan mengejut ke beberapa pembekal dan peruncit tepung gandum serta minyak masak sekitar ibu kota, semalam.

Mengenai cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk melancarkan boikot kenaikan harga barang, Othman berkata, dia tidak menggalakkan pengguna berbuat demikian, sebaliknya bertindak bijak dengan mengurangkan jumlah belian barang.

“Saya tidak berapa setuju dengan boikot, namun percaya jika pengguna mengurangkan jumlah belian barang, ia sudah cukup untuk mengajar peniaga ingkar,” katanya.

Pemeriksaan hari kesembilan itu dilakukan bagi memastikan bekalan dua barang keperluan terbabit mencukupi dan boleh dibeli pengguna pada bila-bila masa, selain dijual pada harga sepatutnya.

Ia juga bagi menyiasat sama ada dakwaan pengguna menyatakan tepung gandum naik harga dan bekalan minyak tidak mencukupi yang dilaporkan media benar-benar berlaku atau sebaliknya.

Othman berkata, ketika ini pihaknya belum menerima aduan membabitkan kenaikan harga tepung gandum dan minyak masak paket, sama ada secara bertulis mahupun melalui talian hotline.

Bagaimanapun, dia menasihati orang ramai, termasuk peruncit, supaya segera membuat aduan menerusi talian hotline 1-800-886-800 yang beroperasi 24 jam.

Setakat ini 5,000 premis sekitar ibu kota diperiksa dan 23 kes dilaporkan membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga barang kawalan, selain tertumpu kepada isu kenaikan harga ayam.

“KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan di semua peringkat, termasuk pembekal, pemborong dan peruncit, bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan naikkan harga secara terang-terangan,” katanya.