Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bernama : Pencemaran Racun Perosak Terhadap Sayur Terkawal - Chua
Bernama : Pencemaran Racun Perosak Terhadap Sayur Terkawal - Chua PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:16

 

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan hari ini berkata pencemaran sisa racun perosak terhadap sayur-sayuran dalam negara masih terkawal, bertentangan dengan laporan sebuah akhbar semalam yang menyebut dua-pertiga daripada 93 sampel sayur-sayuran popular di pasar borong Selayang dicemari racun perosak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata secara keseluruhan masalah berhubung dengan pencemaran itu masih terkawal, akan tetapi "Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau keadaan pencemaran sisa racun perosak dalam negara".

Kementerian akan mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya sisa racun perosak ini terhadap sayur-sayuran melebihi had yang dibenarkan di bawah Peraturan Makanan 1985, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan bahawa satu kajian terhadap sayur-sayuran di pasar borong Selayang, yang membekalkan sayur ke Lembah Klang, mendapati saderi dan daun kari mempunyai pencemaran 100 peratus dan dua-pertiga daripada 93 sampel sayuran dicemari dengan racun perosak.

"Pada masa yang sama kerjasama dengan Jabatan Pertanian akan dipertingkatkan bagi memastikan petani menggunakan racun perosak yang dibenarkan serta mengamalkan amalan pertanian yang baik. Pengguna pula dinasihat untuk sentiasa membasuh atau merendam sayur-sayuran dahulu sebelum dimasak atau dimakan," kata Dr Chua.

Beliau berkata isu pencemaran racun perosak terhadap sayur-sayuran dan buah sentiasa mendapat perhatian kementerian itu dan ini dapat dilihat dari program pemantauan yang dijalankan kementerian setiap tahun terhadap buah-buahan dan sayur-sayuran dalam negara dan juga yang diimport.

Katanya pada tahun 2005, sebanyak 1995 sampel sayur dan buah telah diambil di seluruh negara, merangkumi sampel domestik dan import.

"Dari jumlah itu sebanyak satu sampel buah daripada 356 sampel yang dianalisis iaitu 0.28 peratus dan sebanyak 30 sampel sayuran dari 1,638 sampel atau 1.83 peratus didapati melanggar Peraturan-peraturan Makanan 1985.

"Sementara bagi tahun 2006, dari 2,195 sampel buah dan sayur-sayuran yang dianalisis dan dua sampel buah dari 427 sampel atau 0.47 peratus dan 29 sampel sayur dari 1,966 atau 1.6 peratus telah didapati melanggar peraturan itu," katanya.

Beliau berkata dari sampel sayur-sayuran yang diambil pada 2006, kadar pelanggaran peraturan di Pahang adalah 4.6 peratus, Johor dan Negeri Sembilan (2.3 peratus), Perak (2 peratus), Pulau Pinang dan Sabah (1.7 peratus) dan Selangor (1.3 peratus).

Beliau berkata negeri-negeri lain mempunyai kadar pelanggaran yang kurang dari 1 peratus dan ini menunjukkan negeri yang mempunyai kawasan pengeluaran sayur-sayuran yang besar mempunyai kadar pelanggaran peraturan yang lebih tinggi.

"Dan apabila sayur-sayuran ini tiba di pasaran, kadar pelanggaran dijangka menurun. Ini disebabkan pembersihan pencucian selepas tuai dijangka telah dilakukan oleh penjual di pasaran. Jenis sayuran yang mempunyai kadar pelanggaran tertinggi adalah daun sup dan cili," kata Dr Chua.

Sementara itu, katanya, kajian kementerian pada 2004 bagi membandingkan status pencemaran sisa racun perosak di Cameron Highlands dan Lembah Klang menunjukkan kadar pelanggaran peraturan di Cameron Highlands adalah 6.3 peratus sementara kadar pencemaran di Lembah Kelang 4.6 peratus.

Sayur yang sering melanggar peraturan itu, adalah Chinese Celery Cina dan White Mustard, katanya.

-- BERNAMA