Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian:Setiap aduan diambil tindakan
Berita Harian:Setiap aduan diambil tindakan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:40
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun bernilai RM117,938 ke atas pelbagai premis perniagaan sehingga kelmarin dalam Ops Gaji yang bermula 21 Mei lalu.

 

Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata pemeriksaan dijalankan ke atas 15 jenis premis perniagaan termasuk pasar awam yang membabitkan 11,753 pemeriksaan, pasar malam (11,301), kedai runcit (9,336) dan kedai makan (4,240).

“Setakat ini, kami menerima 88 aduan daripada orang awam berkaitan kenaikan harga dan sudah mengambil tindakan ke atas semua premis terbabit.

“Ops Gaji akan terus dijalankan sehingga keadaan benar-benar terkawal untuk kepentingan pengguna, bagaimanapun pengguna sendiri perlu bijak berbelanja dengan memilih peniaga yang menawarkan harga patut,” katanya pada sidang media Kempen Penurunan harga Pasar Raya Besar Tesco Ampang di sini semalam.

Shafie berkata, kempen yang mendapat sambutan daripada pasar raya besar seperti Tesco memberi pilihan kepada pengguna kerana tawaran harga yang murah.

“Bagaimanapun, kempen turun harga ini tidak hanya bertumpu kepada pasar raya besar kerana turut dijalankan secara berperingkat di pasar mini dan kedai runcit berorientasikan kedai harga patut.

“Kita sedar kepentingan masyarakat secara keseluruhannya terutama di luar bandar yang berjauhan dari pasar raya besar. Sebab itu kita akan jalankan kempen ini secara berperingkat supaya kesannya dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu Tesco mengumumkan tambahan potongan harga ke atas 1,345 barangan jenama Tesco Choice dengan tawaran potongan sehingga 15 peratus termasuk mengekalkan harga barangan jenama lain. Sebelum ini Tesco menyertai pasar raya lain dengan menurunkan harga lebih 2000 barangannya.