Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Buruh disenarai hitam kes beli kereta mewah
Berita Harian : Buruh disenarai hitam kes beli kereta mewah PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:42
 
SUNGAI PETANI: Seorang buruh kontrak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) terkejut apabila mendapati namanya disenarai hitam oleh bank kerana didakwa gagal menjelaskan ansuran bulanan sebuah kereta mewah jenis BMW328i bernilai lebih RM100,000 selama 16 bulan.
 

Arman Abu Bakar @ Osman, 32, dari Jalan Watt Siam, Kampung Raja, di sini, mendakwa dengan gaji RM550 sebulan tanpa sebarang pendapatan sampingan adalah mustahil beliau membeli kereta mewah berkenaan.

Katanya, dia mengesyaki ada pihak tertentu menggunakan kad pengenalannya untuk membuat pinjaman membeli kereta berkenaan tanpa pengetahuannya.

Arman mendakwa, dia hanya menyedari perkara itu apabila dimaklumkan oleh seorang pegawai bank selepas permohonannya membuat pinjaman peribadi pada 10 Disember tahun lalu ditolak kerana sudah disenaraihitamkan oleh sebuah bank lain.

"Saya terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu kerana dengan pendapatan sebanyak itu, manalah saya mampu membeli kereta mewah berkenaan ansuran bulanannya RM1,058.

"Pegawai bank itu memberitahu mengikut rekod ansuran kereta BMW itu sudah tertunggak selama 16 bulan, tetapi saya tidak pernah mendapat surat daripada bank berkenaan yang mengatakan saya membuat pinjaman membeli kereta itu.

"Saya mengesyaki kad pengenalan saya disalahgunakan ketika saya memberikannya kepada wakil penjual kereta terpakai ketika membeli kereta pada 2005," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Arman berkata, kereta terpakai itu bagaimanapun sudah dijual.

Berikutan mengesyaki berlaku penipuan, beliau membuat laporan polis di bandar ini pada Disember lalu, tetapi sehingga kini belum mendapat tahu perkembangan kes itu.

Beliau berkata, hasil siasatannya, kereta BMW itu digunakan seseorang di Seberang Prai dan beliau mahu pengurusan bank berkenaan membersihkan namanya daripada disenaraihitamkan.