Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Larangan naik harga tenusu
Berita Harian : Larangan naik harga tenusu PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:42
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengarahkan semua pengeluar susu pekat manis tidak menaikkan harga produk kawalan berkenaan sehingga keputusan perbincangan mengenai perkara itu diperoleh.
 

Timbalan Menterinya, Datuk S Veerasingam, berkata perbincangan kali kedua membabitkan beberapa pengilang produk tenusu belum berlangsung dan peniaga diminta tidak tergesa-gesa menaikkan harga kerana perbincangan belum selesai.

Katanya, arahan itu sudah dikeluarkan sebelum ini iaitu selepas kementerian menerima aduan orang ramai mengenai tindakan peruncit menaikkan harga dua minggu lalu.

“Peruncit mendakwa mereka menerima notis daripada pengilang bertarikh 23 Mei yang menyatakan akan menaikkan harga dua jenis susu keluaran syarikat mulai 1 Julai.

“Kita kesal tindakan peruncit terlebih dulu menaikkan harga susu walaupun pengilang baru memberi notis pemberitahuan dan saya percaya, kenaikan dibuat selepas berlaku salah faham terhadap notis diberikan,” katanya di sini, semalam.

Menurut notis F&N Dairies (M) Sdn Bhd, dua jenis produk iaitu krimer manis dan susu isian akan dinaikkan harga manakala harga susu pekat manis penuh krim kekal.

Dengan harga baru itu, krimer manis 390 gram (g) naik 15 sen menjadi harga yang dicadangkan RM2, 505g naik 20 sen (RM2.60), 1 kilogram (kg) naik 40 sen (RM5), krimer manis teh tarik 505g naik 20 sen (RM2.60), krimer manis bervitamin 510g naik 20 sen (RM2.65), 1kg naik 40 sen (RM5.10).

Susu isian penuh krim 400g naik 60 sen (RM3.05), susu isian pekat 400g dan isian krimer 400g naik 40 sen masing-masing menjadi RM2.75 serta RM2.65 setin.

Veerasingam berkata, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan pengilang dan peruncit yang tidak mematuhi arahan harga barangan yang ditetapkan iaitu susu pekat manis penuh krim RM1.75 (390g), RM2.25 (505g) manakala susu isian RM1.60 (390g) dan RM2.05 (505g).

Tinjauan di kedai runcit kecil sekitar Pantai Dalam dan Selayang semalam mendapati harga krimer manis keluaran F&N dan Nestle mula dijual lebih mahal 10 sen hingga 50 sen berbanding harga jualan sebelum ini, RM2 hingga RM2.20 setin.

Peniaga, Hydrose Mohammed, 71, yang menjual krimer manis pada harga RM2.30 berkata produk itu dinaikkan sejak sebulan lalu selepas pemborong menaikkan harga dengan alasan tiada stok.

“Malah, saya tidak mempunyai stok susu pekat manis keluaran dua syarikat berkenaan kerana harga yang ditawarkan pemborong jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya.

Amiruuddin Ahmad, pula berkata peniaga terpaksa menaikkan harga tanpa menunggu keputusan KPDNHEP dan pengilang.

“Jika berniaga tanpa untung, buat apa jual. Saya sendiri hanya menjual krimer manis keluaran Nestle pada harga RM2.40, manakala susu pekat manis tidak dijual kerana harganya lebih mahal,” katanya.

Sementara itu, Veerasingam berkata, KPDNHEP mengeluarkan kompaun bernilai RM117,938 kepada 280 premis di seluruh negara kerana melanggar arahan harga barangan kawalan dalam Ops Gaji yang bermula 21 Mei hingga semalam.

Katanya, sebanyak 48,130 pemeriksaan dilakukan dan kementerian menyita barangan jualan bernilai RM89,619.70 sepanjang operasi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan kita dapati ramai peniaga ingkar dengan arahan mematuhi harga barangan kawalan dan mereka akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga 1946 (144 kes), Akta Perihal Dagangan 1972 (23 kes) dan Akta Timbang dan Sukat 1972 (54 kes).