Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : KPDNHEP kutip RM8,000 dalam operasi 8 hari
Berita Harian : KPDNHEP kutip RM8,000 dalam operasi 8 hari PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 10:44
 
 ALOR STAR: Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah mengutip kompaun berjumlah RM8,000 daripada peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan tanda harga dalam operasi seluruh negeri ini dalam tempoh lapan hari, berakhir 31 Mei lalu.

Ketuanya, Suhaimi Mat Sari, kompaun berkenaan dikutip hasil pemeriksaan 55 restoran, gerai makanan, pasar mini dan pasar malam seluruh negeri ini sejak operasi pemantauan harga dilancarkan pada 22 Mei lalu.

Katanya, peniaga terbabit didapati tidak meletakkan tanda harga pada jualan masing-masing seperti yang diwajibkan dalam Akta Kawalan Harga 1946.

Peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikompaun maksimum RM7,500.

"KPDNHEP juga akan memantau semua premis termasuk di kawasan luar bandar agar kawalan harga dipatuhi.

"Selain peniaga, pembekal turut akan dipantau supaya tidak menaikkan harga barang sesuka hati kerana jika pembekal menaikkan harga, peniaga terpaksa melakukan perkara yang sama," katanya.

Suhaimi juga berkata, pemilik restoran tidak wajar menaikkan harga roti canai kerana kenaikan harga tepung gandum hanya sebanyak 15 sen sekilogram.

"Bagi sekilogram tepung boleh menghasilkan hingga 20 keping roti canai jadi tidak adil jika pemilik restoran menaikkan harga makanan itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Suhaimi berkata KPDNHEP merampas pelbagai pakaian berjenama tiruan termasuk Levis, Nike, Playboy, Bonia, Lacost dan Adidas bernilai hampir RM150,000 dalam satu operasi di Lebuhraya Sultan Abdul Halim petang Rabu lalu.

KPDNHEP turut menyita sebuah lori yang ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan menahan pemandunya, lelaki tempatan berusia 40-an.

"Selepas diperiksa, kami mendapati lori berkenaan membawa pelbagai pakaian berjenama tiruan yang dipercayai dibuat di negara jiran," katanya.

Beliau berkata, pemandu terbabit boleh didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman denda RM150,000 atau penjara tiga tahun.