Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : 'Ini bukan main-main'
Harian Metro : 'Ini bukan main-main' PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:04

 

KUALA LUMPUR: “Ini bukan perkara yang boleh dibuat main,” demikian reaksi Penasihat Gabungan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan, ketika mengulas mengenai lambakan beratus-ratus cakera brek tiruan di pasaran.

Hamdan berkata, penggunaan barang tiruan berkenaan jika tidak dikawal boleh membawa padah kepada pengguna.

“Bukan setakat cakera brek, malah semua alat ganti lain membabitkan aspek mekanikal seperti cermin dan sebagainya perlu mematuhi piawaian ditetapkan bagi mengelak sebarang kecelakaan.

“Dengan menggunakan barangan berkualiti rendah atau tidak menepati piawaian, nyawa pengguna boleh melayang, tidak kira barangan kereta, elektrik atau alatan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Harian Metro semalam melaporkan pendedahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ewal Pengguna (KPDNHEP) mengenai penemuan beratus-ratus cakera brek tiruan yang dilonggok di pasaran.

akera brek itu dihasilkan tanpa melalui pemeriksaan piawaian keselamatan dijual berkali ganda lebih murah daripada produk tulen, dikesan menjadi pilihan utama pengusaha bengkel kereta.

Difahamkan cakera brek maut itu yang dihasilkan sindiket tertentu hanya dijual pada harga RM15 sekeping berbanding produk tulen mencecah RM90 sekeping.

Cakera brek tiruan itu antaranya alat ganti terpakai yang dikitar semula didapati mudah haus menyebabkan kereta yang menggunakannya terdedah kepada kemalangan akibat masalah mengejut pada bahagian berkenaan.

Kegiatan mengedar cakera brek tiruan itu terbongkar selepas sepasukan tiga pegawai KPDNHEP Wilayah Persekutuan bersama empat wakil syarikat pengedar yang mempunyai cap dagang produk terbabit, menyerbu sebuah premis, kelmarin.

Menurut Hamdan, pengguna sepatutnya lebih bijak menilai sebelum membeli barang tiruan seperti cakera brek tiruan itu.

“Kadang-kadang, ada mekanik tidak bertanggungjawab menghasut pengguna supaya menggunakan barang tiruan seperti itu walaupun tahu kesannya. Pengguna sendiri sepatutnya dapat mengagak status barangan terbabit melalui harga jualan.

“Saya harap kerajaan terus memantau dan mengenakan tindakan lebih tegas kepada penjual barang tiruan ini. Selain itu, pengguna perlu dididik mengenai aspek kepenggunaan secara berterusan kerana masih ramai yang tidak tahu dan menganggap remeh perkara itu,” katanya.

Sehubungan itu, Hamdan menasihatkan golongan pengguna yang mempunyai maklumat atau mengesyaki mana-mana bengkel atau kedai yang menjual barang tiruan supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.