Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 mStar : Petrol: Pengguna tiada pilihan kecuali berjimat
mStar : Petrol: Pengguna tiada pilihan kecuali berjimat PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:05

28 November 2007

 

PETALING JAYA:  Berdepan dengan kenaikan harga petrol sekali lagi, yang semakin hangat diperkatakan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyeru orang ramai agar berjimat menggunakan sumber tenaga.

Presidennya Datuk N. Marimuthu berkata kenaikan harga bahan bakar itu adalah satu hakikat yang perlu diterima oleh seluruh rakyat dan satu-satunya cara untuk menghadapi keadaan itu adalah dengan melakukan penjimatan.

"Pengguna perlu faham, hakikatnya adalah kerajaan bagi subsidi untuk minyak. Apabila subsidi dikurangkan, sebab itulah pengguna rasa terbeban," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

"Pengguna mesti belajar berjimat supaya dapat menggunakan tenaga dengan bijak."

Jelasnya, penjimatan itu akan dapat dilakukan dengan cara merancang perjalanan dengan teliti dan menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap.

"Tetapi kerajaan kena berusaha lebih gigih untuk memperbaiki sistem perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada kerana setakat ini ia masih belum mencapai tahap memuaskan," katanya lagi.

Tinjauan ringkas di laman ini kira-kira dua minggu lalu menunjukkan, setakat berita ini ditulis, lebih 42% daripada 860 undian pembaca meramal kenaikan harga bahan bakar kali ini mencecah lebih 50% daripada harga kini, 24% lagi undi (25% hingga 50%) dan 16% undi (bawah 25%).


(sumber: rakaman skrin mStar Online)

Institut Kajian Ekonomi Malaysia (Mier) hari ini dilaporkan menjangka kenaikan itu sebanyak 30 hingga 40 sen.

Pengarah eksekutifnya Prof Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, kenaikan 30 sen lebih munasabah berbanding 80 sen seperti dispekulasi oleh sesetengah pihak.

Tahun lalu kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 30 sen.

Sementara itu, Fomca turut menyeru kerajaan supaya mengambil perhatian serius isu-isu yang dibangkitkannya dalam satu memorandum mengenai "penggunaan tenaga dan pengguna" yang telah dikirim pada 20 Sept lalu.

Memorandum itu, diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri dan enam kementerian, antara lain menggesa kerajaan menyediakan satu dasar menyeluruh ke atas dasar-dasar berkaitan pengeluaran, penggunaan serta penjimatan tenaga yang sedia ada.

Dalam dokumen tersebut, Fomca menyatakan pengguna terbeban dengan dua kesan sekali gus, secara langsung dan tidak langsung, akibat kenaikan harga bahan api.

"Pengguna Malaysia hanya mempunyai gas asli dan petrol/diesel sebagai pilihan. Monopoli pasaran ini menyebabkan pengguna menjadi mangsa yang tiada pilihan."