Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Usah layan penipu
Harian Metro : Usah layan penipu PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:09

 

KUALA LUMPUR: "Jangan layan langsung," itu nasihat Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (PPSWP), Mohd Yusof Abd Rahman kepada orang ramai bagi mengelak ditipu sindiket atau syarikat yang menjanjikan pelbagai hadiah lumayan kepada mereka melalui panggilan telefon.

Mohd Yusof berkata, aktiviti penipuan seperti itu berlaku kerana kebanyakan mangsa bersikap tamak, sekali gus mudah diperdaya dengan janji manis yang diberikan.

"Jika masih ramai melayan panggilan seperti itu, sampai bila pun perkara ini tak selesai. Justeru, langkah terbaik untuk menanganinya ialah dengan tidak melayan langsung panggilan seperti ini walaupun mungkin syarikat itu benar-benar mahu beri hadiah.

"Syarikat atau sindiket ini mempunyai pelbagai helah dan kepakaran termasuk memberikan hadiah tidak setimpal untuk menipu orang ramai yang tidak berhati-hati. Jadi, langkah pencegahan adalah perlu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan mengenai nasib malang seorang ibu sembilan anak yang ditipu sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai hadiah, termasuk mengerjakan haji.

Rukiah Abdul Rahman, 40, kerugian kira-kira RM17,000 kerana dipaksa membuat pembayaran secara berperingkat selepas dimaklumkan dia memenangi hadiah kereta Toyota Avanza dan menunaikan ibadat haji.

Dia diberi 'ceramah' ringkas mengenai kemenangan yang dipilih secara rawak melalui nombor telefon dan namanya diperoleh daripada barangan elektrik dibeli sebelum itu.

Rukiah diminta membuat bayaran RM7,500 sebagai wang pendahuluan tetapi dia hanya mampu memberikan RM2,000 pada masa itu.

Bagi meyakinkannya, kata suri rumah itu, syarikat terbabit memberinya resit sebagai bukti pembayaran selain mendapat kerusi urut elektronik sebagai hadiah bonus.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Roslan Mahayuddin, berkata orang ramai boleh membuat aduan kepada pihaknya atau melalui Tribunal Tuntutan Pengguna jika menjadi mangsa atau mempunyai maklumat mengenai aktiviti penipuan seperti itu.

"Yang menjadi masalah apabila syarikat terbabit menutup operasi selepas menipu dan mangsa menyebabkan mangsa sukar dibantu.

"Bagaimanapun, saya nasihatkan orang ramai yang mendapat panggilan mencurigakan daripada individu tidak dikenali yang menawarkan pelbagai hadiah atau ada maklumat mengenai sindiket seperti itu cepat-cepat buat laporan kepada kami atau badan bukan kerajaan (NGO) lain," katanya.