Sunday, 01 Sep 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Harian Metro : Penipu umpan umrah percuma
Harian Metro : Penipu umpan umrah percuma PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:12

 

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan 'gores dan menang' dikesan menggunakan taktik terbaru dengan menawarkan pakej mengerjakan umrah secara percuma kepada pelanggan Melayu dalam usaha menarik perhatian orang ramai.

Kegiatan sindiket terbabit dikesan menerusi aduan Pusat Khidmat Aduan Nasional (PKAN) yang mengendalikan masalah pengguna menjadi mangsa penipuan sindiket gores dan menang.

Dalam tempoh 10 bulan tahun ini, PKAN menerima lebih 1,000 aduan membabitkan kegiatan penipuan gores dan menang yang kebanyakan mangsa di sekitar Lembah Klang.

Mengikut rekod PKAN, sindiket terbabit menggunakan taktik menawarkan pakej umrah percuma kepada orang ramai terutama masyarakat Melayu kerana yakin kegiatan mereka akan berjaya berikutan tawaran hadiah berkenaan dianggap lumayan selain umrah satu ibadat.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu, berkata mengikut rekod PKAN, pengguna yang cepat terpengaruh dengan tawaran hadiah lumayan sering menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.

 Menurutnya, siasatan awal mendapati orang ramai yang gemar menyertai peraduan dan mengisi borang dengan menyertakan butir peribadi perlu berhati-hati kerana sindiket terbabit mungkin membeli data peribadi orang ramai menerusi borang yang diisi.

"Apabila tengok peraduan, kita dengan mudah mengisi borang dan meletakkan semua butir peribadi tanpa menyiasat sama ada peraduan itu sah atau tidak.

"Jangan terpengaruh dengan hadiah ditawarkan sehingga kita beri butir peribadi kerana ini memberi ruang kepada sindiket menghubungi pengguna," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Marimuthu berkata, jika sebelum ini sindiket terbabit menawarkan hadiah kereta mewah dan sebagainya untuk memperdayakan mangsa, mereka kini mengubah taktik dengan menawarkan pakej umrah atau percutian di luar negara.

"Orang ramai mungkin terpengaruh kerana menyangka tidak akan ditipu kerana pakej umrah ialah ibadat membabitkan agama.

"Sindiket terbabit tidak peduli kerana mereka hanya mahu mencari untung dengan jalan mudah," katanya.

Beliau berkata, maklumat peribadi orang ramai mudah dijual pihak tertentu kerana negara ini belum mempunyai Akta Maklumat Peribadi yang boleh mendakwa sesiapa yang menjual maklumat peribadi orang ramai.

Katanya, akta berkenaan perlu digubal bagi menghalang sindiket seperti itu mendapatkan maklumat peribadi orang ramai secara tidak sah atau tanpa kebenaran pengguna.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai jangan sesekali terpengaruh dengan tawaran hadiah lumayan seperti ditawarkan sindiket terbabit kerana tiada sesiapa akan memperoleh keuntungan mudah tanpa perlu berusaha.